Ribuan berarak di Perancis berhubung keganasan terhadap wanita susulan kes rogol

Bernama
November 24, 2024 23:18 MYT
Kesatuan sekerja CGT melaporkan 100,000 peserta hadir dalam protes pada Sabtu, termasuk 80,000 di Paris. - Foto AP
PARIS: Ribuan orang mengambil bahagian dalam demonstrasi di seluruh Perancis menuntut perlindungan yang lebih baik terhadap wanita di tengah-tengah kes rogol berprofil tinggi yang sedang menunggu keputusan di mahkamah, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Kesatuan sekerja CGT melaporkan 100,000 peserta hadir dalam protes pada Sabtu, termasuk 80,000 di Paris.
Polis menganggarkan bilangan penunjuk perasaan di seluruh negara berjumlah 20,000, lapor penyiar France Info, dengan lebih banyak perhimpunan dirancang pada Isnin.
Protes itu dikaitkan dengan perbicaraan terkemuka di selatan Perancis, yang akan berakhir dalam beberapa hari akan datang.
Defendan utama ialah Dominique Pelicot, yang menurut dakwaan, memberi dadah dan mendera bekas isterinya, Gisele Pelicot, selama hampir 10 tahun dan menawarkannya kepada lelaki lain untuk dirogol.
Pelicot, yang kini berusia 72 tahun, percaya dia telah dirogol kira-kira 200 kali.
Bekas suaminya mengaku di mahkamah. Selain beliau, 50 lelaki lain yang didakwa berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Perbicaraan di Avignon telah mencetuskan gelombang kejutan di Perancis dengan seruan untuk perlindungan wanita yang lebih baik.
Kes itu juga telah menghidupkan semula perdebatan mengenai persetujuan seksual.
Aktivis telah lama menyeru agar perbuatan seksual dipersetujui secara eksplisit dan ini termaktub dalam undang-undang jenayah dalam pembaharuan yang dikenali sebagai "ya bermakna ya".
Pelaku yang didakwa kemudiannya tidak dapat berhujah di mahkamah bahawa mereka tidak tahu tentang kekurangan persetujuan.
Parlimen Perancis kini sedang mempertimbangkan cadangan untuk meminda undang-undang mengenai definisi keganasan seksual.
Menurut CGT, demonstrasi selanjutnya dirancang di bandar selatan Avignon pada Isnin.
Kesatuan sekerja melihat bilangan peserta sebagai tanda bahawa keganasan seksual terhadap wanita, daripada gangguan seksual hingga pembunuhan wanita, akhirnya didedahkan di khalayak ramai.
-- BERNAMA
#demonstrasi #Perancis #kes rogol #keganasan terhadap wanita
;