Ribuan berarak di jalanan AS protes keganasan polis
Agensi
Julai 9, 2016 11:52 MYT
Julai 9, 2016 11:52 MYT
Ribuan penunjuk perasaan berarak di jalanan beberapa bandar raya utama di Amerika Syarikat (AS) sebagai tanda memprotes tindakan polis menembak mati dua lelaki kulit hitam minggu ini.
Demonstrasi itu berlangsung sehari selepas insiden seorang lelaki bersenjata yang menembak lima anggota polis ketika berlangsung sebuah demonstrasi seumpamanya di Dallas, lapor Reuters.
Penunjuk perasaan menghalang laluan di New York, Atlanta dan Philadelphia pada malam Jumaat, selain perancangan acara yang sama bakal menyusul di San Francisco dan Phoenix.
Media sosial turut dibanjiri rakaman aksi ribuan pemprotes berarak di Atlanta dalam sebuah demonstrasi besar, sambil melaung dan menunjukkan sepanduk menuntut keadilan.
Datuk Bandar Atlanta melalui akaun Twitternya memberitahu, tunjuk perasaan itu aman, walaupun 10 orang sudah ditahan polis.
Demonstrasi pada Jumaat memuncak berikutan insiden lelaki kulit hitam Philando Castile, 32, yang ditembak mati di St. Paul, Minnesota dan Alton Sterling, 37, di Baton Rouge, Louisiana.
Video langsung Castile ditembak polis hingga mati pada Rabu, telah dimuat naik oleh teman wanitanya ke Internet.
Sterling pula ditembak mati sewaktu pergelutan di luar sebuah kedai serbaneka oleh dua anggota polis kulit putih.
Dua kejadian itu mencetus ketegangan kaum di seluruh negara lebih-lebih lagi khalayak umum belum melupakan insiden kematian seorang remaja kulit hitam, Michael Brown, pada 2014 di tangan anggota polis kulit putih di Ferguson, Missouri.
Pada Khamis, demonstrasi di Dallas berlangsung aman sehingga kejadian tembakan mengejutkan ramai.
Pihak berkuasa berkata, seorang bekas tentera Micah Johnson, 25, dikatakan mahu ‘membunuh polis kulit putih’, lalu melancarkan serangan hendap hingga mengorbankan lima anggota polis dan mencederakan beberapa orang awam.
Pihak polis kemudiannya mengakhiri nyawa Johnson menggunakan robot pembawa bom selepas memerangkapnya di sebuah kawasan parkir.