Ribuan anak ayam diberi kepada pelajar sekolah, alih perhatian daripada guna telefon pintar

Agensi
November 21, 2019 22:30 MYT
Anak ayam atau telefon pintar? - Gambar hiasan
Pihak berkuasa di Bandung, Indonesia merancang untuk mengatasi dilema kanak-kanak yang terlalu leka menggunakan telefon pintar – dan penyelesaian kepada masalah itu adalah dengan aktiviti menjaga anak ayam sendiri.
Sejumlah 2,000 anak ayam berusia empat hari akan diagihkan kepada setiap murid sekolah rendah dan menengah rendah tidak lama lagi sebagai usaha mengurangkan waktu para pelajar membazirkan masa dengan bermain gajet.
Para pelajar wajib memberi makan kepada haiwan peliharaan terbaru mereka itu sebelum dan selepas sesi persekolahan. Mereka juga boleh menyimpan anak ayam itu di rumah, atau di sekolah jika tidak mempunyai ruang untuk menyimpannya di rumah.
Walikota Bandung, Oded M Danial berkata, inisiatif itu antara lain adalah untuk mendedahkan para pelajar tentang disiplin dan semangat keusahawanan.
“Saya berfikir, dengan memberikan anak ayam ini akan menghasilkan aktiviti kanak-kanak yang aktif yang sifatnya ekstra kurikulum.
“Saya berharap langkah ini akan berintegrasi dengan program Kang Pisman (program kesedaran mengenai pengurusan dan pengasingan sampah pepejal).
“Jika kanak-kanak itu menjaga anak ayam, maka sisa nasinya boleh dimakan oleh anak ayam itu. Anak-anak jadi disiplin, dengan memberi anak ayam pada waktu pagi dan petang. Mereka akan jadi lebih peka dan sayang pada persekitaran, sekali gus melatih semangat keusahawanan,” ujar Oded, seperti yang dipetik dari TribunNews.
Projek itu bukan saja sebagai usaha meminimumkan waktu kanak-kanak bermain gajet, malah ia adalah sebahagian daripada perancangan untuk mempelbagaikan kaedah pendidikan seperti yang diseru Presiden Joko Widodo.
Meskipun menerima respons yang pelbagai – sokongan daripada ibu bapa, dan ‘penolakan’ daripada pelajar yang berpendapat telefon pintar lebioh menyeronokkan – inisiatif itu, menurut Oded, adalah satu langkah penting dalam pembentukan sahsiah.
#anak ayam #bandung #Indonesia #kurikulum #pelajar sekolah #pendidikan #sekolah bandung #telefon pintar #walikota bandung
;