Rhoma Irama mahu regu dengan Jokowi dalam pemilihan Presiden Indonesia 2014
Agensi
Disember 4, 2013 17:36 MYT
Disember 4, 2013 17:36 MYT
Raja dangdut Indonesia, Rhoma Irama yang ingin mencalonkan dirinya sebagai calon presiden mendakwa beliau adalah regu yang sesuai untuk berganding dengan Gabenor Jakarta Joko Widodo dalam pemilihan Presiden republik itu tahun depan.
Katanya, beliau ada perwatakan yang serupa dengan Jokowi iaitu selesa bergaul dengan rakyat.
"Dalam politik tidak ada yang tidak mungkin. Kalau Rhoma pasangan sama Jokowi sangat mungkin. Ini boleh jadi pasangan ideal. Saya rasa seperti itu," ujar Rhoma seperti dipetik oleh media di Indonesia.
Rhoma membuat kenyataan itu dalam diskusi Mencari Pemimpin Masa Depan Pilihan Umat di Universiti Negeri Jakarta pada Selasa.
Jelas beliau, persamaan antara dirinya dengan Jokowi adalah kerana latar belakang dirinya sebagai penyanyi dangdut yang dianggap sebagai milik rakyat.
"Saya lihat beliau (Jokowi) orang yang merakyat. Lalu, dangdut itu juga kan segmennya rakyat dan punya rakyat," ujar Rhoma.
Rhoma yang sebelum ini kuat mengkritik Jokowi semasa pemilihan gabenor Jakarta tahun lalu menyifatkan Jokowi yang juga bekas Datuk Bandar Solo adalah salah satu putera terbaik bangsa Indonesia.
Beliau bagaimanapun mengakui belum ada rancangan yang konkrit berkenaan soal berganding dengan Jokowi dalam pemilihan presiden tahun depan tetapi yakin gagasan itu boleh dilaksanakan.
"Saya tidak mengatakan ada rencana, tetapi ketika ada pendapat kalau seandainya Jokowi bersama Rhoma bersanding untuk memimpin Indonesia, mungkin boleh terjadi dan akhirnya, mudah-mudahan, itu boleh baik," kata dia.
Rhoma menjelaskan beliau akan menggunakan Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) untuk mengutarakan keinginannya maju sebagai calon presiden. Namun, hingga saat ini, PKB belum memastikan calon yang akan mereka dukung.
Selain Rhoma, PKB pada masa ini sedang menimbangkan dua lagi calon iaitu bekas Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan, Mahfud MD dan bekas Naib Presiden Jusuf Kalla.
Sementara itu, Jokowi enggan mengulas kenyataan raja dangdut itu sebaliknya hanya berkata: "Siapa yang tidak kenal sama Bang Haji Rhoma Irama."
Beliau mengakui kagum dengan perjalanan Rhoma sebagai penyanyi dangdut yang banyak memberikan inspirasi positif kepada rakyat melalui lagu-lagunya yang menyeru kepada kebaikan.
Dalam pada itu, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang dijangka akan mendukung Jokowi dalam pemilihan presiden tahun depan menyambut dingin hasrat Rhoma dan mengingatkan betapa raja dangdut itu adalah pengkritik kuat Jokowi.
Malah Naib Setiausaha Agung PDI-P, Hasto Kristyanto sangsi Rhoma ada kemampuan untuk jadi pemimpin republik dan kemunculan namanya sebagai calon presiden adalah fenemona mendadak yang hanya diasaskan kepada kemungkinan boleh menang.