Restoran sushi Hong Kong masih dipenuhi pelanggan, tidak ramai peduli isu air loji Fukushima
Agensi
Ogos 25, 2023 17:45 MYT
Ogos 25, 2023 17:45 MYT
HONG KONG: Situasi pelanggan yang beratur panjang di restoran-restoran sushi di Hong Kong pada Jumaat seolah-olah menjadi bukti bahawa ramai yang tidak cemas dengan pelepasan air bekas radioaktif terawat dari loji nuklear Fukushima, Jepun.
Reuters melaporkan, kebanyakan pelanggan tidak berasa terancam malah mengakui akan terus mengunjungi restoran-restoran Jepun.
Di daerah Sheung Wan, lebih 20 pelanggan sabar menunggu dalam barisan sejak jam 10.30 pagi di restoran sushi Sushiro. Menjelang tengah hari, lebih ramai pelanggan yang datang dan mereka tidak mengeluh sewaktu menunggu lama.
"Saya tidak berapa peduli tentang isu radiasi. Kuncinya adalah bersederhana, bukan? Sekali-sekala makan sushi tidak seharusnya kita akan berdepan risiko," ujar salah seorang pelanggan yang dikenali dengan nama Verita, 22.
Larangan Hong Kong terhadap makanan laut import dari 10 wilayah Jepun bermula Khamis, dengan pihak berkuasa memberitahu, itu hanyalah langkah berjaga-jaga demi melindungi kesihatan umum.
Jepun memulakan proses pelepasan air dari loji itu ke Lautan Pasifik pada hari yang sama, lantas mencetus kritikan dari China yang mendakwa itu 'tindakan yang tidak bertanggungjawab'.
Hong Kong yang di bawah pentadbiran China membenarkan makanan import dari 13 wilayah Jepun yang lain, namun ia tetap dipantau ketat, termasuk maklumat paras radiasi disiarkan secara dalam talian.
Menjadi pasaran eksport kedua terbesar bagi Jepun bagi makanan ternak dan perikanan, Hong Kong mempunyai banyak restoran Jepun popular. Bandar raya itu malah menjadi destinasi pilihan untuk aktiviti pelancongan.
Tanah Besar China pada masa sama telah menggantung aktiviti import semua jenis produk akuatik yang berasal dari Jepun.
Billy Tse, 20, yang ditemui ketika beratur di restoran sushi Fix, berkata bahawa warga Hong Kong mungkin selama ini sudahpun terminum air daripada pencemaran nuklear China sendiri.
"Saya secara peribadi tidak akan risau tentang memakan makanan laut mentah dari Jepun. Walaupun Jepun melepaskan air radioaktif terawat ke laut, saya akan tetap datang ke sini untuk makan," ujarnya.