Restoran runtuh di Kepulauan Balearic Sepanyol, 4 terkorban
Bernama
Mei 24, 2024 18:15 MYT
Mei 24, 2024 18:15 MYT
MADRID: Sebuah bangunan restoran runtuh di pantai Palma de Mallorca pada Khamis, menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan mencederakan 25 yang lain di lokasi pelancongan terkenal di Kepulauan Balearic, Sepanyol, menurut laporan media.
Insiden itu berlaku apabila sebuah restoran yang terletak di tingkat bawah bangunan tersebut tenggelam ke tingkat bawah tanah, lapor Xinhua memetik laporan TV awam Sepanyol.
Menurut sumber dari pasukan keselamatan, runtuhan tersebut berlaku sekitar 8.30 malam waktu tempatan. Polis Sepanyol, anggota bomba dan perkhidmatan kecemasan kesihatan sedang bertugas di lokasi dan lebih daripada sedozen ambulans telah digerakkan.
Ramai pelancong dan penduduk tempatan turut berkumpul di sekitar restoran yang runtuh itu, walaupun pasukan keselamatan telah menutup jalan di tepi pantai untuk memudahkan operasi menyelamat.
-- BERNAMA