Restoran pinggir tebing gunung ini perlukan pengurus. Adakah anda berminat?

Agensi
Ogos 22, 2018 19:34 MYT
Pandangan hadapan rumah penginapan dan restoran Berggasthaus Aescher-Wildkirchli di pergunungan Alpstein di Weissbad, Switzerland. - Reuters
Sebuah hotel dan restoran unik di Switzerland yang menjadi terkenal selepas dipaparkan sebagai muka depan majalah National Geographic kini mencari pihak pengurusan baharu selepas keluarga yang mengendalikan operasinya selama 31 tahun, tidak mahu meneruskannya.
Nicole dan Bernhard Knechtle-Fritsche terpaksa melepaskan rumah penginapan Aescher di pinggir tebing gunung dekat Alpstein itu pada penghujung musim kedatangan pelancong pada tahun ini.
Media tempatan yang memetik kata pasangan itu, melaporkan bahawa mereka tidak lagi dapat meneruskan operasi apabila dikekang syarat mengenai kerja ubah suai di lokasi berkenaan.
Dengan berkedudukan di ketinggian kira-kira sebatu di tebing gunung di timur laut Switzerland, lokasi popular dalam kalangan penggemar percutian tanah tinggi itu hanya boleh ditemui dengan menaiki sistem kereta kabel dan kemudian meneruskan pendakian.
Selain menawasrkan tempat penginapan, ia juga menyediakan ruang restoran untuk pelanggan menikmati hidangan panas, serta menawarkan panduan kepada mereka yang mahu mencuba pelbagai laluan jejak pendakian.
National Geographic menjadikan lokasi itu sebagai artikel utamanya dalam edisi khas 'Destinations of a Lifetime: 225 of the world's most amazing places' (Destinasi sepanjang hayat: 225 tempat terhebat dunia).
#Aescher #National Geographic #pengurus #restoran tebing gunung #Switzerland
;