Restoran di China caj pelanggan untuk 'bernafas'
Nizam Bakeri
Disember 15, 2015 17:41 MYT
Disember 15, 2015 17:41 MYT
Sebuah restoran di bandar Zhangjiagang didapati mengenakan ‘caj udara bersih’ ke atas pelanggan selepas memasang sistem penapisan udara.
Ia dibuat bagi menangani masalah pencemaran udara yang telah membelenggu bandar tersebut kebelakangan ini.
Menurut laporan agensi berita China Xinhua, pemilik restoran tersebut mengenakan caj satu yuan (67 sen) sebagai tambahan bagi setiap bil.
Para pelanggan restoran tersebut tidak menyedari caj berkenaan sehinggalah mereka menerima bil selepas selesai menjamu selera.
Selepas menerima beberapa aduan daripada pelanggan, pihak berkuasa akhirnya mengeluarkan arahan kepada restoran tersebut untuk menghentikan caj berkenaan.
Menurut pihak berkuasa lagi, para pelanggan tidak mempunyai pilihan selain menghirup udara di dalam restoran sekaligus menyebabkan udara tersebut tidak boleh dijual sebagai komoditi.
Walau bagaimanapun, masyarakat tempatan kebanyakannya tidak merungut dan menganggap caj tersebut sebagai munasabah memandangkan udara bersih yang semakin sukar ditemukan di China.
Salah satu komen di Weibo, laman Twitter versi China, menyatakan tidak salah bagi restoran tersebut untuk mengenakan caj bagi udara bersih kerana harga yang dibayar oleh pelanggan juga ditentukan oleh suasana sesebuah restoran.
Tahap pencemaran udara di China kini mencapai tahap tertinggi sepanjang zaman, dengan Beijing baru-baru ini menerima kod amaran merah kerana kehadiran kabus beracun.