Restoran 'bogel' di Tokyo tidak benar pelanggan gemuk masuk

Agensi
Jun 11, 2016 03:25 MYT
Restoran bogel pertama di Tokyo, Jepun yang bakal dibuka bulan hadapan hanya benarkan pelanggan kurus untuk masuk menjamu selera.
Restoran ‘bogel’ pertama di Tokyo, Jepun yang bakal dibuka bulan hadapan akan mengenakan peraturan kejam iaitu hanya pengunjung dengan berat badan tertentu sahaja dibenarkan masuk.
Difahamkan, pengunjung yang mahu memasuki restoran berkenaan akan ditimbang terlebih dahulu dan jika didapati mempunyai berat badan berlebihan maka tidak layak berada di dalam restoran itu.
Restoran Amrita, yang sebelum ini turut dibuka di London dan Melbourne, juga menetapkan had umur dari 18 hingga 60 tahun kepada pengunjungnya.
Antara lain, pengunjung yang hadir akan diminta memakai pakaian dalam yang diperbuat daripada kertas yang disediakan oleh restoran itu.
"Jika berat badan anda lebih 15 kilogram daripada berat ideal, kami akan meminta anda untuk tidak membuat tempahan,” itu antara isi kandungan peraturan Restoran Amrita yang dipaparkan di laman web rasminya.
Restoran tersebut akan dibuka di Tokyo pada 29 Julai dan bayaran tempahan perlu dilakukan lebih awal secara dalam talian.
Menurut peraturan restoran itu lagi, pelanggan yang didapati sudah membuat bayaran tetapi mempunyai berat badan yang berlebihan tidak akan dibenarkan masuk dan wang tidak akan dikembalikan.
Namun begitu, berbeza dengan di Tokyo, cawangan sama yang ditubuhkan di London sebaliknya membenarkan pengunjung dengan berat badan berlebihan untuk menjamu selera di restoran berkenaan.
Akan tetapi, kebanyakan pelanggan memberikan maklum balas kurang memuaskan mengenai restoran tersebut di sana.
Jurucakap restoran berkenaan di Tokyo, Miki Komatsu menafikan bahawa peraturan restoran berkenaan adalah satu bentuk diskriminasi.
"Jika orang berbadan gemuk berada di dalam restoran berkenaan ia akan menyebabkan pengunjung lain berasa kurang selesa.
“Penumpang boleh melihat garis panduan jelas di laman web kami. Kami menyasarkan satu jamuan makan berbentuk estetik Roman, seperti lukisan yang indah yang anda lihat di muzium," katanya kepada AFP.
Senarai peraturan juga meminta pelanggan tidak menganggu dengan menyentuh atau berbual dengan pelanggan yang lain.
Pelanggan bertatu juga dihalang daripada masuk.
Mereka yang memenuhi syarat kemasukan restoran itu akan diminta untuk menyimpan telefon mudah alih dan kamera di dalam laci khas.
Para tetamu akan membelanjakan sekitar 80,000 yen (RM3,043.30) untuk tiket yang melayakkan mereka makan makanan yang dihidangkan pelayan restoran.
Tiket makan, tidak termasuk persembahan, menelan kos sehingga 28,000 yen (RM1,064) bergantung kepada pilihan menu.
#berat badan berlebihan #diskriminasi #Restoran Amrita #restoran bogel #Tokyo