Resolusi gencatan senjata PBB lewat, tetapi penting - Indonesia
Bernama
Jun 11, 2024 05:45 MYT
Jun 11, 2024 05:45 MYT
JAKARTA: Walaupun penerimaan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk cadangan gencatan senjata tiga fasa sudah lewat, Kementerian Luar Indonesia pada Selasa menyatakan bahawa ia adalah langkah penting untuk menghentikan tindakan Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin, lapor Xinhua.
"Penerimaan Resolusi UNSC 2735 (2024) mengenai cadangan gencatan senjata tiga fasa adalah langkah yang sudah lama tertangguh tetapi penting untuk menghentikan kekejaman yang berterusan terhadap rakyat Palestin dan mencapai gencatan senjata segera dan kekal di Gaza," kata kementerian itu di akaun rasmi X.
Indonesia menggesa semua pihak supaya segera mencapai resolusi untuk memastikan pengakhiran permusuhan secara kekal dan menyediakan bantuan segera kepada rakyat Palestin.
Selain itu, Indonesia menyeru semua pihak untuk membuka ruang bagi penubuhan dua negara sebagai jalan penyelesaian. - BERNAMA