Republic Czech dipilih ganti Rusia sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB

Bernama
Mei 11, 2022 12:00 MYT
Majlis Hak Asasi Manusia merupakan badan PBB untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia. - REUTERS
NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa memilih Republik Czech menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Rusia, yang digantung keahliannya, lapor Xinhua.
Perhimpunan Agung pada 7 April menerima pakai resolusi untuk menggantung keahlian Rusia dalam Majlis Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Geneva selepas Rusia melancarkan "operasi ketenteraan khas" di Ukraine.
Rusia segera ambil keputusan menamatkan keahliannya dalam majlis 47 anggota itu.
Dalam undian yang diadakan pada Selasa, Republik Czech dipilih menggantikan Rusia untuk baki penggal tiga tahunnya yang berakhir pada 31 Dis 2023. Penggal Republik Czech bermula serta-merta.
Republik Czech dipilih dengan 157 undi menyokong, dan 23 berkecuali.
Majlis Hak Asasi Manusia, yang ditubuhkan oleh Perhimpunan Agung PBB pada 2006, merupakan badan PBB untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia.
Ahli-ahli majlis dipilih oleh Perhimpunan Agung untuk tempoh tiga tahun secara berperingkat.
-- BERNAMA
#Majlis Hak Asasi Manusia #PBB #Rusia #Republik Czech
;