Replika 'pocong' diusung sebagai peringatan bahaya COVID-19
Agensi
Ogos 26, 2020 11:03 MYT
Ogos 26, 2020 11:03 MYT
Prihatin dengan jumlah korban COVID-19 yang terus meningkat, anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) di daerah Jombang, Jawa Timur tampil dengan kaedah unik mengusung replika jenazah.
Replika yang dibalut kain kafan berupa pocong dengan tulisan 'Korban COVID-19' itu ditonjolkan di khalayak awam bagi menyedarkan masyarakat tentang bahaya COVID-19, terutamanya di pasar awam.
Usaha itu bagi menyeru seluruh rakyat di negara itu agar selalu mematuhi SOP kesihatan khususnya dengan memakai pelitup muka.
Komandan Koramil Jombang Kapten Nasrullah berkata aksi menggendong pocong dengan mengelilingi pasar itu sengaja diadakan bagi menyuntik kesedaran tentang bahaya virus tersebut kepada masyarakat.
Dengan cara ini, beliau berkata, pihaknya berharap masyarakat akan berasa takut dan mengenakan pelitup muka sebagai langkah pencegahan.
“Usaha ini sebagai sokongan dan menyahut saranan kerajaan yang meminta semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan dalam usaha memutuskan penularan jangkitan," katanya yang dipetik media tempatan pada Rabu.
Nasrullah menambah jumlah penduduk yang disahkan positif COVIS-19 di daerah ini mencecah 638 orang.
"Daripada jumlah itu, seramai 53 orang telah meninggal dunia, 78 orang masih dirawat, dan 507 pesakit telah sembuh," ujarnya.
#COVID-19
#Indonesia
#jenazah
#kerajaan
#Kesedaran
#kesihatan
#koronavirus
#meninggal dunia
#operasi
#rakyat
#SOP
#tentera
#Tentera Nasional Indonesia