Renjatan elektrik ragut satu demi satu nyawa empat sekeluarga
Agensi
Disember 26, 2017 22:28 MYT
Disember 26, 2017 22:28 MYT
Empat sekeluarga terkorban akibat terkena renjatan elektrik berkuasa tinggi ketika berada di sawah berdekatan kediaman mereka.
Keempat-empat korban terdiri daripada ayah Amaq Sanah, 60 tahun; ibu Inaq Sanah, 50 tahun; Hikmatullah, 35 tahun; dan Haeriyah, 37 tahun.
Menurut laporan portal kicknews.today, satu demi satu ahli keluarga itu terkorban dalam insiden menyayat hati yang berlaku di sini pada Isnin sekitar jam 11.30 pagi.
Insiden bermula apabila si ibu Inaq Sanah turun ke sawah miliknya bagi mencari siput untuk dijual di pasar.
Namun tanpa disedari, berlaku kebocoran arus elektrik di kawasan sawah berkenaan. Akibat terkena renjatan, Inaq Sanah terus rebah dan meninggal dunia.
Seorang saksi kejadian berkejar ke rumah mangsa untuk memberitahu keluarganya.
Anak mangsa Haeriyah yang bergegas ke lokasi meluru untuk mendekati ibunya, namun dia sendiri pula menjadi korban renjatan elektrik.
Melihat kakaknya yang rebah di samping si ibu, seorang lagi anak mangsa Hikmatullah pula turun untuk membantu, namun dia juga turut menjadi korban.
Bapa kepada kedua-dua anak itu yang bergegas menyelamatkan tiga ahli keluarganya yang rebah kemudian turut menerima nasib yang sama.
Difahamkan penduduk yang melihat kejadian terus mematikan arus elektrik setelah sedar berlakunya kebocoran di kawasan tersebut.
Mangsa dikejarkan ke pusat kesihatan masyarakat, namun gagal diselamatkan.
Polis dalam pada itu mengesahkan kejadian dan memaklumkan bahawa kes sedang disiasat.