Rempuhan pasar Krismas: Suspek didakwa dengan lima tuduhan membunuh
Bernama
Disember 22, 2024 15:15 MYT
Disember 22, 2024 15:15 MYT
MAGDEBURG (Jerman): Suspek dalam serangan tragis di pasar Krismas yang mengorbankan lima nyawa dan mencederakan 200 orang didakwa atas pelbagai tuduhan termasuk membunuh, cubaan membunuh dan mencederakan, lapor agensi berita dpa.
Suspek, yang dikenali sebagai Taleb A didakwa dengan lima tuduhan membunuh, beberapa tuduhan cubaan membunuh dan menyebabkan kecederaan sehingga parah.
Dia kini berada dalam tahanan pra-perbicaraan, menurut kenyataan polis.
Suspek telah dihadapkan ke mahkamah pada malam Sabtu.
Antara mangsa yang terkorban dalam insiden itu ialah seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, kata pihak berkuasa.
Penyiasat percaya suspek bertindak sendirian kerana tiada petunjuk wujudnya rakan subahat berdasarkan siasatan setakat ini.
Taleb A, seorang doktor berusia 50 tahun dari Arab Saudi, masih belum mendedahkan motif serangan.
Bagaimanapun, pendakwa raya berkata bahawa suspek mungkin tidak berpuas hati dengan layanan terhadap pelarian Saudi di Jerman.
-- BERNAMA