Remaja tikam leher pengikut gereja Scientology hingga mati
Astro Awani
Januari 3, 2019 07:47 MYT
Januari 3, 2019 07:47 MYT
Seorang lelaki berusia 16 tahun ditahan pada Khamis selepas menyerang dua lelaki dengan pisau di Ibu Pejabat Gereja Scientology Asia Pasifik di Sydney, Australia.
Salah seorang mangsa yang berusia 24 tahun mati akibat ditikam di leher manakala seorang lain lelaki dilaporkan cedera.
Menurut Nine News, serangan itu berlaku di jalan masuk pusat agama tersebut di Jalan Greville, Chatswood.
Kedua-dua lelaki itu mengiringi remaja terbabit keluar dari pusat agama itu apabila dia mengacukan pisau 25cm lalu menikam salah seorang lelaki di leher, lapor ABC.
Mangsa dikatakan rakyat Taiwan dan dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia selepas mengalami pendarahan serius.
Ketua Detektif Polis, Simon Jones menjelaskan, perbalahan awal antara mangsa dan suspek dipercayai berkaitan dengan hal-hal dalaman.
"Selepas serangan, pihak polis mengarahkan suspek meletakkan senjata sebelum ditangkap.
"Mangsa kedua yang mengalami kecederaan ringan dilaporkan stabil dan telah dibenarkan keluar dari hospital," katanya.
Gereja tersebut dalam satu kenyataan kepada ABC berkata, ini adalah satu insiden malang dan mangsa yang mati merupakan ahli pusat agama tersebut yang 'taat'.