Remaja Saudi mohon perlindungan suaka hapus akaun Twitter selepas ancaman bunuh

Agensi
Januari 11, 2019 17:47 MYT
Rahaf Mohammed al-Qunun, 18, tiba di Thailand pada Sabtu dan pada awalnya kemasukannya dinafikan. - AP
Seorang remaja perempuan Arab Saudi yang melarikan diri ke Thailand kerana takut keluarganya akan membunuhnya, telah memadamkan akaun Twitternya pada Jumaat selepas menerima beberapa ancaman bunuh.
Reuters melaporkan, perkara itu dinyatakan oleh seorang rakannya, sementara remaja itu menunggu keputusan sama ada permohonan suakanya diluluskan.
Rahaf Mohammed al-Qunun, 18, tiba di Thailand pada Sabtu dan pada awalnya kemasukannya dinafikan.
Dia kemudiannya mula memuat naik mesej menerusi Twitter dari ruang transit Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok, yang menyatakan bahawa dirinya melarikan diri dari Kuwait dan nyawanya dalam bahaya jika kembali ke Arab Saudi.
Hanya beberapa jam kemudian, satu kempen ruang maya oleh para aktivis dengan hashtag #SaveRahaf menular di Twitter.
Pihak berkuasa Thailand membenarkan Rahaf memasuki negara itu pada Isnin manakala agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kemudiannya merujuk kes remaja itu kepada Australia untuk mempertimbangkan penyelesaian pelarian.
Sekitar tengah hari pada Jumaat, akaun Twitternya, @rahaf84427714, dipadamkan selepas dia memuat naik mesej “berita buruk dan baik!”. Ia muncul dan aktif sebentar, kemudian dipadam sekali lagi.
Seorang pengguna Twitter bernama Nourah, yang merupakan rakan Rahaf, memberitahu menerusi Twitternya bahawa Rahaf menutup akaun Twitternya kerana menerima ancaman bunuh.
Perkara itu disahkan oleh wartawan Sophie McNeill dari Australia Broadcast Corp. yang mempunyai akses terus kepada Rahaf. Dia yang mengesahkan khabar ancaman itu turut memberitahu bahawa Rahaf dalam keadaan sihat dan selamat.
Menteri Luar Australia Marise Payne pada Khamis berkata negaranya sedang mempertimbang sama ada mahu memberikan perlindungan suaka kepada Rahaf.
#ancaman bunuh #Arab Saudi #Bangkok #pemohon suaka #Rahaf Mohammed al-Qunun #remaja #saverahaf
;