Remaja perempuan ini terus lantang menuduh UK punca masalah iklim

Agensi
April 24, 2019 07:38 MYT
Thunberg menyeru lebih ramai orang untuk bertindak. - Foto Reuters/Yara Nardi
Para pemimpin pembangkang Britain menemui aktivis perubahan iklim dari Sweden, Greta Thunberg pada Selasa untuk membincangkan tentang ‘krisis besar kemanusiaan’.
Selepas berbulan-bulan Brexit berdepan kemelut, isu perubahan iklim kembali melonjak menjadi agenda politik Britain, lebih-lebih lagi selepas siri protes yang melumpuhkan jalanan London.
Thunberg, remaja perempuan berusia 16 tahun itu semakin dikenali pemerhati global kerana menganjurkan bantahan di sekolah khususnya mengenai isu alam sekitar dan iklim, dilihat memuji penganjuran tunjuk perasaan ‘Extinction Rebellion’ di London.
Pihak polis telah menahan sejumlah 1,065 orang dan mendakwa 71 orang berkaitan protes besar-besaran tersebut yang menyasarkan kawasan sekitar Oxford Circus, Waterloo Bridge dan beberapa lokasi lain di London.
Thunberg menyeru lebih ramai orang untuk bertindak.
"Selagi ia tidak libatkan keganasan, saya percaya ia boleh membawa perubahan. Ia boleh membuatkan lebih ramai orang sedar tentang situasi bahawa kita dalam darurat,” ujar remaja itu.
Dalam satu pertemuan dengan Thunberg, ketua pembangkang utama dari Parti Buruh, Jeremy Corbyn, berkata: “Syabas dengan apa yang anda lakukan. Anda sudah mengubah perdebatan ini melalui pelbagai cara. Semuanya bagus dan perlu dilakukan.”
Selepas mengikuti ucapan Thunberg di hadapan para penggubal dasar, Setiausaha Alam Sekitar Britain, Michael Gove berkata: “Suara anda yang tenang dan jelas, seumpama suara kesedaran kami, dan ketika saya mendengarnya, saya amat menyanjunginya selain rasa tanggungjawab dan rasa bersalah.. kerana saya menyedari bahawa saya dari generasi ibu bapa anda.”
Walaupun terdapat konsensus politik yang besar di Britain tentang usaha menangani perubahan iklim, Thunberg dalam ucapannya menuduh polisi industri negara itu tetap gagal mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau yang mencetus masalah pemanasan global.
"Eksploitasi dan sokongan aktif UK terhadap bahan api fosil - sebagai contoh, industri gas syal, peluasan lapangan minyak dan gas di Laut Utara, pembesaran lapangan terbang dan pelan untuk memberi izin operasi kepada lombong arang batu baharu - adalah suatu yang menjengkelkan.
"Sikap tidak bertanggungjawab yang berterusan ini pastinya bakal diingati dalam sejarah, sebagai salah satu kegagalan terbesar manusia," ujarnya.
#aktivis alam sekitar #Brexit #Britain #Greta Thunberg #isu alam sekitar #pemasanan global #perubahan iklim #polisi alam sekitar #protes #Sweden
;