Remaja perempuan 16 tahun dirogol sebelum mati dibakar di India

AFP
Mac 9, 2016 18:58 MYT
Lokasi kejadian mangsa yang dirogol sebelum dibakar di Uttar Pradesh, India. - Foto AFP
Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Uttar Pradesh, India yang dirogol dan kemudian dibakar dibumbung rumahnya, telah meninggal dunia dalam satu lagi siri jenayah seksual dahsyat di negara itu.
Remaja yang menderita kesan terbakar sebanyak 90 peratus dalam serangan itu meninggal dunia di hospital pada Rabu, ujar pegawai penyiasat Ashwani Kumar.
“Malang sekali dia tidak dapat diselamatkan walaupun telah menerima rawatan terbaik daripada petugas perubatan,” ujarnya.
Menurut Kumar, pihak polis telah menangkap suspek iaitu seorang lelaki berumur 19 tahun dan dia kini di dalam pengawasan.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui tentang motif dan maklumat lain tentang jenayah tersebut,” ujarnya.
Laporan media tempatan memetik kenyataan bapa mangsa yang menyatakan terdapat seorang jiran di kampung mereka sering mengganggu anaknya itu sejak setahun lalu walaupun sudah banyak kali diberi amaran.
Kes rogol beramai-ramai di dalam sebuah bas di Delhi pada 2012 telah menarik perhatian dunia mengenai tahap keselamatan dan keganasan ke atas kaum wanita di Negara tersebut.
Kejadian itu telah mencetuskan perubahan dalam undang-undang India berkaitan jenayah rogol, termasuk mempercepatkan pendakwaan dan mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah. Namun kes seumpamanya terus berlaku.
#keganasan seksual di India #mangsa dari Uttar Pradesh India #remaja dirogol dan dibakar #remaja India dirogol dan dibakar
;