Remaja penyelamat dunia tolak hadiah hampir suku juta
Astro Awani
Oktober 30, 2019 23:14 MYT
Oktober 30, 2019 23:14 MYT
REMAJA 16 tahun Greta Thunberg menggegarkan dunia sambil mencuri perhatian sekali lagi apabila menolak anugerah alam sekitar.
Bulan lalu, Thunberg – pengasas gerakan Scolstrijk for Klimatet (Mogok Sekolah Elak Perubahan Cuaca) bermula Ogos 2018 di mana penuntut sekolah ponteng kelas untuk berdemonstrasi membantah pencemaran alam sekitar – berada di New York untuk menarik perhatian dunia tentang masa hadapan yang kian meruncing akibat masalah perubahan cuaca.
Thunberg memilih untuk menyeberang lautan Atlantik menggunakan kapal layar dan tidak menggunakan penerbangan komersil bertujuan elak pencemaran karbon.
Walaupun anugerah yang ditaja Nordic Council disifatkan sebagai satu penghormatan, Thurnberg memilih menolaknya kerana; “Gerakan menyelamatkan dunia dari masalah perubahan cuaca tidak perlu ditambah sebarang anugerah.”
Thunberg menyaran agar ahli politik dan mereka yang mempunyai kuasa mendengar nasihat dan pandangan pakar sains yang memberi amaran tentang bahaya pemanasan dunia.
Melalui paparan Instagram, Thunberg cuba menyedarkan negara Nordic untuk membukti kesungguhan untuk menyelamatkan dunia dari akibat pemanasan global.
Menurutnya, apa yang sebenarnya terjadi tak ubah; “..cakap tak serupa bikin” kerana negara Nordic yang terdiri dari Denmark, Finland dan Sweden turut bertanggungjawab pencemaran, pembaziran dan guna-tenaga berlebihan.
Thunberg disebut-sebut sebagai calon paling layak menerima anugerah Nobel Peace Prize tahun ini yang akhirnya dimenangi Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed.
Presiden Nordic Council Hans Wallmark menghormati tindakan Thurnberg dan menyifatkan usaha menimbul kesedaran sejagat sebagai usaha yang perlu disokong dunia.
Anugerah dari Nordic Council itu menyediakah hadiah wang tunai 500,000 kroner (RM235,000).
Willmark dan jawatankuasa anugerah sedang memikirkan cara terbaik memanfaatkan habuan wang yang ditolak Thunberg menyokong gerakkan selamatkan dunia dari perubahan cuaca.