Remaja Palestin maut ditembak tentera Israel di Tebing Barat
Bernama
Mei 6, 2021 13:34 MYT
Mei 6, 2021 13:34 MYT
RAMALLAH: Seorang remaja Palestin berusia 16 tahun maut ditembak tentera Israel pada Rabu malam berhampiran bandar Nablus di utara Tebing Barat, menurut pegawai perubatan dan saksi kejadian.
Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan berkata mangsa ditembak ketika penunjuk perasaan dan tentera Israel bertempur di kampung Oudla, selatan Nablus, lapor Agensi Berita Xinhua.
Seorang lagi remaja Palestin cedera dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Sementara itu, saksi kejadian berkata setiap hari berlaku tunjuk perasaan dan pertempuran di Nablus dan beberapa kampung di sekitarnya berikutan serangan tentera Israel ke atas kediaman penduduk Palestin.
Tentera Israel dikatakan sedang memburu lelaki Palestin yang melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan menyebabkan tiga warga Israel cedera, tiga hari lalu. Tiada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.
-- BERNAMA