Remaja maut terkena renjatan elektrik selepas melarikan diri daripada kereta terbakar

Astro Awani
April 13, 2021 08:33 MYT
Talian elektrik itu terjatuh selepas dihempap sebatang pokok semasa ribut melanda daerah Hernando. - Foto YouTube/10 Tampa Bay
SEORANG remaja maut akibat renjatan elektrik selepas terlibat dalam kemalangan di Florida, Amerika Syarikat.
Kejadian berlaku selepas remaja perempuan berusia 17 tahun itu terlanggar talian elektrik yang terjatuh ke jalan pada Ahad.
Menurut portal berita Newsweek, talian elektrik itu terjatuh selepas dihempap sebatang pokok semasa ribut melanda daerah Hernando.
Kemalangan tersebut mengakibatkan kereta itu terbakar dan ini memaksa mangsa cuba melarikan diri dan dengan tidak sengaja terpijak talian elektrik berkenaan, kata polis.
Anggota Perkhidmatan Kecemasan dan Bomba Hernando dikerah ke tempat kejadian dan menutup laluan berkenaan kepada trafik.
Amaran cuaca buruk dikeluarkan di beberapa bahagian di Florida selepas kawasan berkenaan dilanda ribut dan angin kencang minggu lepas.
Amaran puting beliung turut dikeluarkan Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan untuk kawasan berkenaan.
#maut #renjatan elektrik #kemalangan #ribut #dihempap pokok #talian elektrik
;