Remaja maut dilanggar kereta api ketika 'selfie'

AFP
Februari 2, 2016 10:00 MYT
Kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 16 tahun bersama beberapa rakan lain dalam perjalanan pulang ke rumah di selatan Chennai pada Ahad. - Gambar hiasan
Seorang remaja lelaki maut selepas dilanggar kereta api ketika mengambil gambar dirinya membelakangkan kereta api yang mendatang ke arahnya.
Kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 16 tahun bersama beberapa rakan lain dalam perjalanan pulang ke rumah di selatan Chennai pada Ahad.
"Ia merupakan kemalangan ngeri. Semakin ramai anak muda kini ketagih untuk mengambil gambar 'selfie'," kata pegawai polis stesen, S. Ramuthai kepada AFP.
Memetik laporan media tempatan, mangsa yang menghabiskan harinya di zoo, berjalan di hadapan kereta api dan menunggu kereta api tersebut menghampirinya untuk mengambil gambar.
Kejadian tersebut berlaku hanya seminggu selepas polis di barat Mumbai menyelamatkan seorang lelaki yang cuba seorang gadis yang jatuh ke laut kerana ber-'selfie'.
Polis mengenal pasti 16 kawasan berbahaya untuk selfie di Mumbai dan telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan menaikkan papan tanda amaran dan menempatkan anggota penyelamat.
Pada Mei tahun lalu, seorang wanita Rusia secara tidak sengaja menembak dirinya di kepala menggunakan sepucuk pistol ketika cuba menggayakan aksi 'selfie' bersama senjata tersebut.
Pada Februari lalu, penyiasat Amerika Syarikat memaklumkan seorang juruterbang berulang kali mengambil selfie menyebabkan kemalangan sebuah pesawat kecil membunuh kedua-dua penumpangnya.
#maut dilanggar keretapi #maut ketika selfie
;