Remaja lelaki 14 tahun tembak kakak disebabkan tidak puas hati dengan hadiah Krismas
Bernama
Disember 27, 2023 17:30 MYT
Disember 27, 2023 17:30 MYT
NEW YORK: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang menembak mati kakaknya, ditembak pula oleh abangnya yang berusia 15 tahun dalam kejadian pada malam Krismas di Florida, Amerika Syarikat, menurut pihak berkuasa pada Selasa.
Polis berkata adik-beradik lelaki itu sebelum itu bertengkar mengenai jenis hadiah yang akan mereka peroleh semasa membeli belah untuk Krismas, lapor CBS News.
Pertengkaran berlarutan walaupun ibu mereka membawa kedua-duanya ke rumah nenek mereka di Largo (dekat Tampa, Florida), di mana remaja berusia 14 tahun itu dilaporkan mengacu pistol semiautomatik ke kepala abangnya dan mengancam untuk membunuhnya.
Bapa saudara mereka meleraikan pertengkaran itu dengan membawa remaja 14 tahun itu keluar dari rumah dan dinasihatkan oleh kakaknya, Abrielle Baldwin, yang duduk di luar rumah bersama anaknya, supaya menghentikan pertengkaran itu.
Remaja itu, bagaimanapun berang dan mengugut untuk menembak kakak dan bayinya sebelum melepaskan tembakan maut ke lengan dan dada wanita itu. Bayinya tidak cedera.
Abangnya pula meluru keluar dari rumah nenek dengan pistol separa automatiknya sendiri dan menembak adiknya itu di perut, dan melarikan diri tetapi berjaya ditahan di rumah ahli keluarga mereka.
Remaja 14 tahun itu yang mungkin didakwa sebagai orang dewasa kerana membunuh, berada dalam keadaan stabil di hospital Tampa selepas menjalani pembedahan manakala abangnya didakwa atas percubaan membunuh dan menunggu bukti fizikal.
CBS News melaporkan kedua-dua remaja itu sebelum ini pernah ditahan kerana pecah masuk kenderaan.
Jabatan Syerif Daerah Pinellas memberitahu Daily News bahawa siasatan masih diteruskan.
Wanita yang terbunuh itu juga mempunyai seorang lagi anak berusia 6 tahun.
-- BERNAMA