Remaja langgar kanak-kanak 12 tahun, kemungkinan ada kaitan dengan trend TikTok
Agensi
Oktober 8, 2022 13:04 MYT
Oktober 8, 2022 13:04 MYT
VICTORIA: Seorang remaja ditahan oleh pihak polis Australia selepas didapati menyebabkan kematian kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun.
Memetik laporan 9News, seorang kanak-kanak lelaki ditemui cedera parah di dalam sebuah kediaman di Balgownie yang kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Wollongong pada Selasa lalu.
Dalam masa sama, pihak polis memaklumkan sebuah kenderaan jenis Holden Barina berwarna hitam ditemui merempuh lampu isyarat di daerah Towradgi.
Seorang saksi kejadian, Toloa Mataele, memberitahu dia melihat remaja itu masuk ke dalam sebuah kereta lain berwarna perak sejurus kemalangan.
"Dia dilihat agak lemah, maksud saya tidak sedar tetapi masih cukup baik untuk berjalan," katanya.
Dalam pada itu, pihak polis mengesahkan sedang menyiasat sama ada trend TikTok dalam kalangan remaja yang merakam diri mereka mencuri kereta dan memecah masuk kediaman mempunyai kaitan dengan kejadian ini.
Difahamkan, kenderaan berkenaan juga telah dicuri dari sebuah lokasi di Koonawarra.
Sementara itu, pihak polis berjaya menahan seorang remaja berusia 17 tahun petang semalam dan kini suspek ditempatkan di Balai Polis Goulburn.
Difahamkan, suspek didakwa atas enam kesalahan termasuk memandu secara bahaya sehingga menyebabkan kematian, memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian, gagal berhenti dan memberi bantuan selepas menyebabkan kecederaan teruk, gagal berhenti dan membantu selepas kenderaan terbabit menyebabkan kematian, menyebabkan kecederaan akibat salah laku membabitkan kenderaan bermotor dan pemandu juga tidak memiliki lesen.
Buat masa ini, suspek tidak dibenarkan diikat jamin dan diminta hadir di Mahkamah Kanak-Kanak, hari ini. - Agensi