Remaja disimbah asid gara-gara tolak cinta rakan sekelas
Astro Awani
September 2, 2022 11:30 MYT
September 2, 2022 11:30 MYT
PATNA: Gara-gara cinta ditolak, seorang lelaki tergamak mencurah asid ke wajah remaja perempuan.
Memetik kenyataan ibu mangsa, anak perempuannya dan suspek merupakan rakan sekelas di sebuah pusat tuisyen di wilayah Jharkhand Chatra, India.
“Dia sudah lama menaruh hati dengan anak saya. Namun saya tidak sangka dia bertindak ke tahap ini.
"Ketika kejadian, saya dan anak perempuan sedang tidur di katil yang sama.
“Tertuduh menyimbah asid ke atas anak saya. Bukan hanya dia yang cedera, malah bahagian belakang dan tangan saya turut melecur,” kata ibu mangsa.
Remaja perempuan berusia 17 tahun itu dibawa ke bandar Gaya, Bihar untuk rawatan segera sebelum dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Ranchi untuk rawatan susulan.
Sementara itu, ibu mangsa berasa kesal dengan layanan doktor dan jururawat diterima di situ.
“Selepas kejadian berlaku, anak saya dibawa ke sana memandangkan paling hampir dengan Chatra.
"Di sana anak saya tidak mendapat layanan yang sepatutnya,” katanya.
Mangsa kemudian diterbangkan ke Institut Sains Perubatan All India (AIIMS) selepas disarankan oleh Lembaga Perubatan India memandangkan kecederaan dialami di mata kiri, leher, lengan kanan dan leher memerlukan rawatan rapi yang tersedia di sana.
Difahamkan suspek masih bebas selepas berjaya melarikan diri.