Remaja disiasat polis berhubung kenyataan palsu mengenai Lee Kuan Yew

Bernama
Mac 20, 2015 14:00 MYT
Pihak polis kemudian mengenal pasti identiti suspek dalam tempoh 24 jam dan siasatan awal mendapati suspek dipercayai telah mengubah suai kenyataan media PMO mengenai status keadaan Lee Kuan Yew.
Seorang remaja bawah 16 tahun sedang membantu polis dalam siasatan mengenai notis palsu Pejabat Perdana Menteri (PMO) berhubung bekas Perdana Menteri Lee Kuan Yew.
Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada Jumaat, polis Singapura berkata kira-kira 10.10 malam Rabu lepas, mereka dimaklumkan mengenai pelbagai mesej sedang disebarkan berhubung pelbagai kenyataan menerusi paparan skrin kononnya daripada PMO.
Pihak polis kemudian mengenal pasti identiti suspek dalam tempoh 24 jam dan siasatan awal mendapati suspek dipercayai telah mengubah suai kenyataan media PMO 2010 yang dipapar pada laman web PMO dan menghantar sebuah foto yang telah diubah suai.
BACA: Laman web palsu sebar berita kematian Lee Kuan Yew - PMO Singapura
Suspek merupakan seorang pelajar lelaki republik itu berusia bawah 16 tahun yang dipercayai melakukannya secara bersendirian.
Dia sedang membantu siasatan polis di bawah Akta Salahguna Komputer dan Keselamatan Siber yang boleh membawa hukuman atau denda tidak melebihi S$50,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
BACA: Lee Kuan Yew masih kritikal - PMO Singapura
#Lee Kuan Yew #notis palsu #pelajar #polis #remaja #Singapura