Remaja dilahirkan dalam Starbucks akhirnya bertemu 'barista' yang bantu ibunya
Astro Awani
April 8, 2021 07:33 MYT
April 8, 2021 07:33 MYT
Bekas penyelia Starbucks yang membantu seorang wanita melahirkan anak di kafe syarikat itu ditemukan semula dengan bayi berkenaan yang kini berusia 18 tahun.
Menurut portal berita The Record North Shore, Griffin Baron sedang bekerja di kafe Starbucks di Wilmette, Amerika Syarikat pada 2002 apabila dia terdengar seorang wanita menjerit di dalam tandas.
Seorang pelanggan di kafe berkenaan menggesa Baron untuk memanggil ambulans kerana wanita terbabit, Lisabeth Rohlck, akan melahirkan.
"Saya terdengar jeritan dan sangkakan seorang pelanggan terkunci di dalam tandas," kata Baron.
Sementara menunggu ambulans tiba, Baron dan pelanggan tersebut, Tricia Monico, menyambut kelahiran Jonathan Celner.
"Saya mengambil beberapa tuala panas kerana itu yang biasa dilakukan.
"Kemudian saya memasuki tandas tersebut dan terlihat kepala bayi tersebut," jelas Baron.
18 tahun kemudian, Baron dan Celner bertemu sekali lagi di kafe Starbucks berkenaan.
"Ini merupakan peristiwa penting bagi saya kerana saya sering tertanya tentang bayi itu," kata Baron yang kini menetap di Chicago.