Remaja bunuh rakan sekolah, mahu derma semua harta

Sinar Harian
April 12, 2018 12:34 MYT
Pada 14 Februari lalu, Cruz melepaskan tembakan rambang di sekolah tinggi Marjory Stoneman Douglas di bandar Parkland, Florida Selatan menggunakan senjata separa automatik jenis AR-15. - Foto Reuters

Penembak di sebuah sekolah di Parkland, Nikolas Cruz mahu mendermakan hartanya yang dipercayai bernilai ratusan ribu dolar kepada keluarga mangsa dan mereka yang terselamat dalam serangan itu, kata peguamnya hari ini.

Pada sidang mahkamah semalam, Hakim Broward County, Elizabeth Scherer menentukan sama ada Cruz yang diwakili peguam pembela umum mampu membayar peguamnya.
Peguamnya belum dapat menentukan nilai harta yang ditinggalkan kepadanya selepas kematian ibunya, Lynda Cruz pada November lalu.
Namun, laporan tempatan yang memetik anggota keluarganya menyebut, mendiang ibunya menyediakan tabung amanah bernilai AS$800,000 (RM3.1 juta) untuknya.
Bagaimanapun, pasukan perundangan Cruz mencadangkan sebarang warisan yang mungkin diperoleh harus disalurkan kepada mangsa-mangsa Cruz dan bukan membayar harga peguam yang mahal.
Pada 14 Februari lalu, Cruz melepaskan tembakan rambang di sekolah tinggi Marjory Stoneman Douglas di bandar Parkland, Florida Selatan menggunakan senjata separa automatik jenis AR-15.
Dia dituduh melakukan 17 pembunuhan dirancang dan berdepan 17 tuduhan cubaan membunuh.
Pendakwa menuntut hukuman mati.

#AS #bunuh #keluarga #mahkamah #Nikolas Cruz #peguam #remaja #sekolah #serangan #tembakan
;