Remaja bunuh diri selepas murung dibuli, dipulaukan dari WhatsApp Group

Azyyati Ahmad
Mac 31, 2018 09:02 MYT
Elena Mondal, 14, ditemui kaku tergantung oleh guru-gurunya di sekolah Henrietta Barnett yang terletak di utara London pada tahun lalu. - Foto facebook.com/simmer.sims
Kes kematian seorang remaja perempuan berasal dari India yang ditemui menggantungkan diri di premis sekolah di utara London, tahun lalu, dipercayai ada kaitan dengan oleh WhatsApp Group, lapor media Britain, The Sun.
Hasil siasatan berkaitan kematian pelajar itu dikeluarkan minggu ini, selepas pakar psikiatri, Emily Hallgarten memberitahu mahkamah bahawa kanak-kanak berusia 14 tahun itu mungkin bertindak demikian selepas rakan-rakannya mengecualikannya dari kumpulan WhatsApp mereka.
Elena Mondal ditemui kaku tergantung oleh guru-gurunya di sekolah Henrietta Barnett yang terletak di utara London pada tahun lalu.
Seorang pegawai sekolah memberitahu juri bagaimana Elena yang bercita-cita menjadi doktor, pernah menangis dan keluar dari bilik darjah bersama sepasang gunting, sebelum ditemui sedang cuba melukakan pergelangan tangannya di tandas sekolah.
Menurut siasatan, ibu bapa gadis itu, Shyamal dan Moushumi Mondal khuatir bahawa anak mereka telah dibuli dengan teruk di sekolah perempuan berstatus tinggi di UK itu.
Pengurus sekolah, Kelly Barry, mengatakan bahawa gadis itu telah dirujuk kepada kaunselor sekolah kerana tidak makan dan kemurungan, namun telah beberapa kali tidak menghadiri sesi yang telah ditetapkan.
Komen pakar psikiatri konsultasi Cathy Wainhouse menambah bahawa Elena Mondal mungkin tidak bermaksud untuk mati, tetapi berharap tindakannya ditemui rakan-rakan sebelum maut menjemputnya.
#bunuh diri #Elena Mondal #inkues #siasatan #WhatsApp
;