Remaja buka pintu kecemasan dan terjun sebaik pesawat mendarat

Azyyati Ahmad
Ogos 2, 2017 20:20 MYT
Rata-rata penumpang pesawat berkata, remaja itu kelihatan cemas sepanjang penerbangan selama tujuh jam dari Panama City itu. REUTERS / Fail
SEORANG remaja lelaki bertindak membuka pintu kecemasan pesawat Copa Airlines sebaik sahaja ia mendarat dan terus menggelongsor turun ke landasan melalui sayap pesawat.
Remaja Amerika Syarikat yang berusia 17 tahun itu kemudian ditahan kru pembinaan lapangan terbang yang sedang bekerja berdekatan sehingga polis tiba, kata jurucakap Lapangan Terbang San Francisco, Doug Yakel.
Lapor CBS News, Yakel mengesahkan bahawa remaja berkenaan berada dalam keadaan emosi yang tidak menentu ketika ditahan namun tidak mengalami apa-apa kecederaan.
Rata-rata penumpang pesawat berkata, remaja itu kelihatan cemas sepanjang penerbangan selama tujuh jam dari Panama City itu.
Setakat ini, tiada makluman dari pihak berkuasa mengenai sebab remaja berkenaan bertindak sedemikian.
Copa Airlines berkata dalam satu kenyataan, pintu kecemasan pesawatnya sememangnya direka agar ia boleh dibuka oleh penumpang pada ketinggian aras rendah bagi tujuan pemindahan sekiranya berlaku kecemasan.
Namun, adalah menjadi kesalahan undang-undang persekutuan sekiranya pintu kecemasan dibuka tanpa pengawasan dan arahan anak kapal.
Saksi juga memberitahu, salah seorang kru pesawat menggunakan badannya bagi menutup pintu kecemasan yang dibuka remaja tersebut sehingga pesawat selamat tiba di pintu masuk lapangan terbang.
#Amerika Syarikat #Copa Airlines #penerbangan #pesawat #polis #remaja
;