Remaja Australia minum alkohol beracun di Laos meninggal dunia
Agensi
November 21, 2024 16:40 MYT
November 21, 2024 16:40 MYT
BANGKOK: Seorang lagi pelancong asing maut akibat keracunan metanol di Vientiane, Laos, pada Khamis.
Dengan kematian remaja Australia berusia 19 tahun itu, angka korban melibatkan warga asing disebabkan minum minuman keras beracun itu meningkat kepada empat individu.
Sebelum ini dua warga Denmark dan seorang rakyat Amerika Syarikat mati selepas minum alkohol beracun mengandungi metanol.
Ketua Polis Balai Muang, Kolonel Phattanawong Chanphon berkata, mangsa, Bianca Jones dikejarkan ke sebuah hospital di wilayah Thailand pada 13 November lalu selepas dilaporkan rebah di Vang Vieng.
"Doktor yang memeriksa mangsa mengesahkan punca kematian adalah disebabkan keracunan metanol akibat minuman keras tiruan.
"Kandungan metanol yang tinggi dalam tubuh mangsa menyebabkan berlakukan pembengkakan pada otak," katanya kepada Reuters di sini, pada Khamis.
Sementara itu, rakan mangsa, Holly Bowles, yang juga berusia 19 tahun dilaporkan dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat.
Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menzahirkan rasa simpati dengan insiden yang menimpa mangsa.
"Ini adalah kebimbangan terbesar dan menjadi mimpi ngeri setiap ibu dan bapa yang tidakj sepatutnya dialami.
"Saya mewakili rakyat Australia menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa," ujarnya.
Masalah alkohol tiruan semakin membimbangkan di Laos yang memaksa kerajaan Australia dan Britain memberi amaran kepada rakyat mereka supaya berhati-hati ketika minum minuman keras di negara terbabit.
Metanol merupakan alkohol toksik yang digunakan dalam industri sebagai pelarut, racun serangga dan sumber bahan api alternatif.