Reka bentuk Songket Malaysia memukau di pameran Washington
Bernama
Oktober 12, 2024 23:49 MYT
Oktober 12, 2024 23:49 MYT
KUALA LUMPUR: Pereka fesyen Malaysia benar-benar mencuri tumpuan di resepsi Hari Songket Malaysia yang berlangsung di Muzium The George Washington University dan Muzium Tekstil, Washington, DC baru-baru ini.
Buat kali pertama di Amerika Syarikat, songket tradisional Malaysia dipamerkan di pentas antarabangsa, dan para pereka berpeluang berkongsi cerita menarik di sebalik proses kreatif ini.
Pereka tersohor dalam industri fesyen Malaysia dan pendukung kuat warisan budaya negara, Sharifah Kirana menganggap songket lebih daripada sekadar tekstil.
"Songket ini adalah kisah yang dianyam melalui pelbagai generasi. Saya sangat bangga dapat mempersembahkan keindahannya di pentas global," kata Kirana dalam kenyataan yang dikongsi oleh kedutaan kepada Bernama pada Jumaat.
Rekaan Sharifah yang menggabungkan elemen tradisional dengan moden, menerima pujian dari pelbagai pihak termasuk peminat fesyen dan para diplomat.
Turut mencuri perhatian ialah pereka muda Zachrin Jaafars, dengan koleksinya yang disokong FELDA. Inspirasi rekaannya adalah dari 14 negeri di Malaysia, dengan meraikan kepelbagaian etnik negara.
"Kami pastikan tiada pembaziran, terutamanya kerana bahan-bahan ini ditenun dengan tangan," jelasnya.
Koleksinya menyerlahkan evolusi fesyen tradisional dengan sentuhan moden, sambil mengekalkan kehalusan tenunan Songket.
Koleksi Zachrin menggunakan bahan yang ditenun oleh generasi muda komuniti peneroka FELDA di Chini, Pahang menjadikan rekaannya lebih bermakna.
Selain pertunjukan fesyen, acara itu turut menampilkan demonstrasi langsung proses tenunan songket yang memukau hadirin dengan keindahan dan kerumitannya.
Adiguru Kelthom Hussein, seorang penenun terkemuka memperlihatkan kemahiran luar biasa dalam menenun benang emas.
Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Nazri Aziz turut kagum dengan sambutan yang diberikan terhadap songket.
"IAgak luar biasa, walaupun bagi rakyat Malaysia sendiri, untuk melihat bagaimana songket dihasilkan.
"Jadi, kami fikir adalah bermanfaat untuk berkongsi proses tenunan ini dengan rakan-rakan Amerika kami-- sesuatu yang jarang sekali disaksikan oleh ramai rakyat Malaysia. Kain ini sangat menakjubkan, dan melihat begitu banyak contoh bersamanya adalah peluang yang jarang berlaku," katanya dalam kenyataan itu.
Acara itu dirasmikan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra pada 3 Okt lalu dan dihadiri tetamu kehormat termasuk duta-duta dan pegawai kerajaan AS.
Selepas kejayaan pameran ini, Kedutaan Malaysia di Washington akan menganjurkan pameran khas dari 11 hingga 25 Okt, memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan warisan seni Malaysia.
-- BERNAMA