Rejim zionis jadikan Ramadan alasan untuk cetus ketegangan - MyCARE
Hilmi Malik
April 6, 2023 18:30 MYT
April 6, 2023 18:30 MYT
REJIM Zionis dilihat dengan sengaja menjadikan bulan Ramadan sebagai alasan untuk mencetuskan ketegangan terhadap umat Islam di Palestin meskipun ketika mereka sedang sibuk menunaikan ibadah di bulan mulia ini.
Penasihat Kanan MyCARE, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor berkata, serangan terkutuk yang menyasarkan Masjid Al-Aqsa baru-baru ini merupakan tindakan sama yang dilakukan Israel pada tahun lalu.
“Apa yang berlaku pada Ramadan sebelumnya berulang sekali lagi dan kita melihat tragedi ini sebagai satu alasan yang dicari-cari Israel untuk mengenakan tekanan kepada rakyat Palestin.
“Mereka (Israel) sengaja memilih bulan Ramadan atas apa jua alasan sekali pun untuk timbulkan ketegangan dan meningkatkan kemarahan rakyat Palestin dan seluruh umat Islam,” katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
Tambah Dr Hafidzi, perbuatan Israel itu juga seperti mempunyai faktor kekebalan apabila negara veto dilihat seperti berdiri teguh di sebalik serangan tersebut.
“Sebenarnya Amerika Syarikat sentiasa berpihak kepada Israel dan apa jua bentuk cadangan yang dikeluarkan seperti ‘melepaskan batok di tangga’ kerana apa yang dilakukan Israel sentiasa dilindungi dan direstui.
“Seluruh masyarakat antarabangsa perlu menggunakan platform Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengenakan tindakan terhadap AS supaya Israel menghentikan tindakan biadab ini.
“Kita tidak mahu AS dan Israel ini hanya bermain dengan kata-kata umpamanya mempersalahkan umat Islam kononnya membuat kubu di dalam Masjid Al-Aqsa.
“Kita tahu umat Islam hari ni berada di dalam masjid mengadakan iktikaf dan mereka pula sengaja untuk mencetuskan provokasi,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, pihaknya berpendapat nasib umat Islam di Palestin akan sentiasa berdepan dengan penindasan sekiranya dunia tidak bangkit menyuarakan realiti sebenar.
“Kerajaan-kerajaan seluruh dunia bukan saja dari negara Islam harus bersatu menyatakan sikap dan pendirian tegas supaya tidak sama sekali reda dengan apa yang berlaku di Palestin.
“Tindakan dan tekanan yang cukup mengajar perlu dikenakan ke atas Israel supaya perkara ini dapat dihentikan sekiranya kita tidak mahu melihat Ramadan menjadi medan berlakunya ketegangan.
“Perkara ini akan terus menimbulkan keresahan dan kemarahan umat Islam,” katanya lagi.
Pada Rabu, tentera Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa, tapak ketiga paling suci buat umat Islam selepas Mekah dan Madinah, serta menahan 350 rakyat Palestin.