Rejim Bashar gempur saki-baki kumpulan pemberontak di Homs

Agensi
April 18, 2018 12:06 MYT
Sama seperti penduduk Timur Ghoutah, orang awam yang berada di utara Homs telah dikepung sejak lebih lima tahun lalu.
Rejim Bashar al-Assad dan sekutunya meningkatkan serangan ke atas kawasan utara Homs, antara saki-baki kawasan yang masih dikuasai kumpulan anti kerajaan.
Operasi darat dan udara dilakukan dengan intensif selepas Timur Ghoutah diisytihar jatuh sepenuhnya ke tangan mereka pada minggu lalu.
Menurut laporan Anadolu, sejak empat hari lalu, tentera rejim berjaya menguasai kampung Wadi al-Hubbiya, Wadi al-Qurbat, Ard al-Jassiya, Ard Kabir al-Sheyha, Zahrat Jebabi dan Zahrat Jassiya.
Bagaimanapun laporan yang kemudian dipetik TRT World, ia tidak menyatakan jumlah sebenar kematian dan kecederaan dalam kalangan orang awam.
Dalam operasi daratnya, daerah Teblise dan Rastan Deir Ful, Camp Malluk, Musrefiya, Zarafani dan Tirmala yang mempunyai kepadatan populasi yang tinggi telah menjadi sasaran roket serta serangan hendap.
Menurut sumber tempatan, objektif utama serangan adalah bagi menguasai sepenuhnya Lebuhraya Salamiya yang menghubungkan utara Aleppo ke utara Homs.
Jika ia berjaya ditawan, ini bermakna tentera kerajaan dan konco-konconya berjaya menguasai 600 kilometer persegi kawasan yang pada masa sekarang masih dikuasai kumpulan anti kerajaan.
Sama seperti penduduk Timur Ghoutah, orang awam yang berada di utara Homs telah dikepung sejak lebih lima tahun lalu.
#anti kerajaan #Bashar al-Assad #kerajaan #operasi #serangan #tentera #Timur Ghoutah
;