Reformasi tanah tidak dapat dihalang - Presiden Zimbabwe
Bernama
Julai 9, 2023 10:25 MYT
Julai 9, 2023 10:25 MYT
MANGUNJE (Zimbabwe): Presiden Zimbabwe Emmerson Mnangagwa pada Sabtu menegaskan bahawa pembaharuan tanah Zimbabwe, iaitu lebihan tanah ladang daripada petani kulit putih dan diberi kepada petani tanpa tanah bagi memperkasakan mereka dari segi ekonomi, tidak dapat disekat di bawah kepimpinannya.
Beliau berkata Barat menentang sekeras-kerasnya pembaharuan itu, dan mengenakan sekatan ekonomi terhadap negara itu.
"Sekatan itu telah berkuat kuasa selama lebih dua dekad, dianggar mengakibatkan kerugian ekonomi lebih US$100 bilion, dan mendorong berjuta-juta orang untuk berhijrah ke pelbagai negara di seluruh dunia untuk mencari kehidupan yang lebih baik," kata Mnangagwa dipetik sebagai berkata oleh New Zian.
Di sebalik kesukaran disebabkan oleh sekatan, Mnangagwa berkata kerajaan tidak akan mengalah dan menghentikan reformasi tanah, sebaliknya melabur lebih banyak dalam bidang pertanian untuk memastikan keselamatan makanan domestik dan menjana eksport yang lebih besar dalam tempoh jangka sederhana hingga panjang.
"Ada individu yang berpendapat bahawa reformasi tanah kita akan dihentikan, dengan andaian bahawa ladang akan diberikan semula kepada orang kulit putih. Tiada apa-apa perkara seperti itu akan berlaku selagi ZANU PF masih berkuasa.
"Sekatan tidak akan menghalang kita daripada membina negara kita. Sumber yang diberikan Tuhan ditambah dengan kerja keras akan mengembangkan ekonomi kita," katanya.
Presiden menekankan pencapaian penting yang dibawa oleh reformasi tanah, termasuk sara diri dalam pengeluaran gandum, satu peristiwa penting yang mengubah Zimbabwe daripada pengimport gandum bersih kepada negara yang berdikari.
Hasilnya, kerajaan kini sedang meneroka peluang untuk memasuki pasaran eksport gandum.
Pengeluaran tembakau, satu lagi sektor yang berkembang maju di bawah inisiatif terbabit, telah mencapai pengeluaran hampir 300 juta kilogram tahun ini.
Ia menjadi eksport kedua terbesar negara selepas emas dan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Zimbabwe.
Presiden Mnangagwa seterusnya menggariskan komitmen kerajaan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan subsektor pertanian lain, khususnya ternakan, sambil menambah bahawa pelbagai skim pinjaman telah dilaksanakan untuk mengagihkan lembu, kambing, dan ayam terutamanya kepada masyarakat yang ditempatkan semula.
"Kerajaan juga menyasarkan untuk meningkatkan hasil ternakan lembu daripada lima juta kepada lebih enam juta dengan menyediakan vaksin haiwan percuma dan menyambung semula eksport daging lembu," katanya.
Dalam visinya, kerajaan menyasarkan untuk mengubah sektor pertanian menjadi industri bernilai US$8 bilion dalam beberapa tahun akan datang, terutamanya didorong oleh eksport komoditi pertanian yang pelbagai.
-- BERNAMA