Rebut takhta popular, YouTuber maut ditikam pesaing sewaktu bersiaran langsung

Gempak
Mei 12, 2024 14:28 MYT
Insiden berlaku semasa Joddoltv bersiaran langsung ketika menghadiri perbicaraan di mahkamah membabitkan dia dan suspek. -Gempak
MANUSIA hari ini semakin hilang akal. Hanya kerana sentiasa bersaing sebagai YouTuber yang sentiasa menyajikan konten paling hebat dan ‘laju’, ada yang sanggup melakukan jenayah sehingga membunuh.
Itulah yang berlaku apabila seorang YouTuber Korea Selatan yang popular sebagai Joddoltv maut selepas ditikam rakan pesaing sewaktu bersiaran langsung.
Maut ditikam ketika 'live'
Lebih sadis, insiden tersebut berlaku sewaktu Joddoltv melakukan siaran langsung ketika menghadiri proses perbicaraan di mahkamah yang membabitkan dirinya dan suspek.
Penyerang dilaporkan mendekati Joddoltv sebelum menikamnya sekitar 9.25 pagi waktu tempatan.
Mangsa dibawa ke hospital berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia.
Tak boleh terima kegembiraan orang lain
Suspek kemudian sempat memuat naik video selepas menikam mangsa.
“Saya minta maaf kepada semua pengikut yang telah lama menyokong saya selama ini.
“Saya hanya tidak boleh menerima sikap seseorang yang mahu ‘membunuh’ kegembiraan orang lain. Saya tidak akan lari dan bertanggungjawab,” katanya dalam video tersebut.
Suspek kemudian berjaya ditahan pihak berkuasa tempatan dalam tempoh dua jam selepas video tersebut dimuat naik.
Video tersebut diturunkan selepas dia ditangkap.
Kedua-dua YouTuber yang saling mengenali satu sama lain itu dilaporkan sedang menjalani perbicaraan di mahkamah selepas Joddoltv melayangkan saman ke atas suspek yang didakwa sering menghinanya. -Gempak
#YouTuber Korea Selatan #Joddoltv #maut ditikam #bersiaran langsung
;