Realiti sebenar rakyat di Afghanistan di bawah kepimpinan Taliban

Syafik Shukri Jalil
Februari 28, 2022 14:12 MYT
Propaganda Amerika Syarikat yang melabelkan kerajaan Taliban sebagai rejim yang kejam kini memberi persepsi negatif komuniti dunia untuk mengiktiraf kerajaan ini. - Gambar Astro AWANI
KABUL: Afghanistan ketika ini dicengkam krisis kemanusiaan yang kronik tatkala majoriti warganya hilang pekerjaan, tidak memiliki wang untuk menjalani kehidupan seharian.
Situasi ini menyebabkan majoriti warganya terpaksa bergantung kepada bantuan kemanusiaan antarabangsa.
Ini selepas Amerika Syarikat (AS) tahun lalu, memutuskan untuk mengenakan sekatan kepada kerajaan pimpinan Taliban menyebabkan ekonomi negara ini lumpuh.
Dengan taktik ini mungkin membolehkan warga Afghanistan ini tidak berpihak kepada kerajaan pimpinan Taliban dan menyebabkan mereka terpaksa berundur dan akur daripada tampuk kepimpinan.
Namun, realitinya berbeza kerana propaganda memburukkan Taliban tidak berjaya kerana penaklukan semula rejim ini nampaknya diterima baik oleh warga Afghanistan khususnya di Kabul.
Dua hari lalu, AS memutuskan mengeluarkan beberapa pengecualian bantuan kemanusiaan kepada sekatan sejak pengambilalihan oleh Taliban pada Ogos 2021.
Bagaimanapun, kerajaan ini masih memerlukan sekatan sepenuhnya dihentikan bagi membolehkan ia berfungsi untuk warga negara ini.
Propaganda AS yang melabelkan kerajaan Taliban sebagai rejim yang kejam kini memberi persepsi negatif komuniti dunia untuk mengiktiraf kerajaan ini.
Astro AWANI kini berada di Kabul bagi meninjau realiti kehidupan masyarakat di negara ini.
Beberapa rakyat tempatan yang ditemui bersyukur kerana negara ini berjaya keluar dari cengkaman AS seterusnya membolehkan kerajaan kini bebas mencipta dasar sendiri dalam memastikan negara berkenaan kekal berdaulat tanpa campur tangan asing dalam kepimpinannya.
Mereka yang ditemui di sekitar bandar Kabul menaruh kepercayaan yang tinggi kepada kerajaan baharu ini dan menyifatkan keadaan kini jauh lebih selamat berbanding sebelum ini.
Bagi Mohammad Salim Danish, ketika ini realiti masyarakat sukar untuk digambarkan kerana jumlah kemiskinan terus meningkat.
Namun, di sebalik kesukaran itu, suasana jauh lebih aman dan kehidupan dapat dijalankan seperti biasa di sebalik keperitan sebenar dihadapi mereka.
“Kami menanam harapan yang tinggi kepada kerajaan ini dan berharap keadaan menjadi lebih baik di masa akan datang.
“Keamanan yang saya nyatakan adalah kini tiada lagi bunyi dentuman bom dan ini membuktikan tahap keselamatan berada di tahap tertinggi.
“Namun, kami berharap dunia untuk lebih terbuka seterusnya mengiktiraf kerajaan kami secara formal untuk memastikan kelangsungan kehidupan dapat terus dijalankan bagi menjamin kestabilan masyarakat Afghanistan,” katanya.
Sementara bagi seorang pemuda bernama Wahdad, dia juga sependapat dengan Mohammad Salim Danish.
Tiada apa yang diharapkan Wahdad selain pengiktirafan dan bantuan berterusan komuniti antarabangsa untuk terus membantu mereka dalam meneruskan kelangsungan kehidupan.
“Kerajaan ketika ini berjaya menjanjikan kestabilan dan tahap keselamatan yang baik dan kami gembira dengan pertukaran kepimpinan ini.
“Namun, kami masih berdepan tahap kemiskinan yang tinggi dan sangat mengharapkan bantuan kemanusiaan antarabangsa dapat diteruskan biarpun masih tiada pengiktirafan diberikan kepada kerajaan Taliban,” ujarnya.
Propaganda Barat
Astro AWANI juga berkesempatan mendekati jurucakap Kementerian Luar Afghanistan, Abdul Qahar Balkhi di Lapangan Terbang Kabul sejurus tiba di negara ini tempoh hari.
Pertemuan ringkas dengan beliau dapat menyimpulkan permintaan Taliban yang hanya mahu sekatan dihentikan dan dunia mengiktiraf mereka sebagai sebuah kerajaan.
Malah beberapa propaganda Barat menyifatkan kerajaan ini melakukan banyak sekatan kepada warganya khususnya wanita hanya memberi gambaran negatif kepada dunia luar biarpun itu bukan realiti sebenar di sini.
Wanita khususnya dilaporkan tidak diberi akses kepada pendidikan dan tidak dikurniakan hak untuk bekerja hanya sebagai laungan mencipta kebencian dunia kepada mereka.
“Soal pengiktirafan hanyalah bersifat politik semata-mata dan ia hanya bergantung kepada keputusan mereka (negara luar) untuk mengiktiraf kerajaan kami (Taliban).
“Kami sudah melakukan apa yang seharusnya dilakukan dalam usaha membolehkan kami diiktiraf sebagai kerajaan rasmi Afghanistan.
“Dan ketika ini segalanya hanya bergantung kepada keputusan komuniti dunia untuk mengiktiraf kami.
“Dengan pengiktirafan ini, kami boleh mewakili rakyat Afghanistan dan membolehkan mereka punya akses dan jalinan dengan masyarakat dunia,” katanya.
Bagi seorang guru hanya mahu dikenali sebagai Simah yang ditemui di Nagraha, Jalalabad, menepis dakwaan Barat yang melaporkan wanita tidak lagi punya akses kepada pendidikan dan pekerjaan di Afghanistan.
Malah ujarnya dia masih lagi menuntut di sebuah madrasah dan pelajar perempuan lain masih ke sekolah seperti biasa.
“Perkara ini tidak benar, kami masih boleh menuntut dan menerima akses kepada pendidikan dan saya masih lagi menuntut di madrasah ketika ini,” katanya ringkas.
Sementara seorang guru wanita, Maryam, ketika ditemui juga senada Simah yang menyifatkan label buruk itu hanya sekadar menakutkan komuniti dunia yang tidak tahu tentang realiti kehidupan di negara ini.
Malah dia juga menyimpan keinginan untuk melihat penglibatan wanita dalam kepimpinan tertinggi kerajaan sekali gus menjadi pembuat dasar utama negara.
“Kami hanya berharap kerajaan Taliban meneruskan dasar dan membolehkan kami (wanita) bekerja dan menuntut seperti biasa.
“Kami juga ingin melihat kerajaan ini mempertimbangkan penglibatan wanita dalam Kabinet seterusnya membuat dasar berlandaskan ajaran Islam,” ujarnya lagi.
Kini segalanya terserah kepada keputusan yang bakal diambil oleh setiap kerajaan di dunia untuk membuat keputusan sama ada untuk mengiktiraf kerajaan ini seterusnya mendesak AS di bawah kepimpinan Joe Biden untuk menghentikan sekatan kepada kerajaan Taliban.
Perlu ingat, biarpun AS memutuskan mengeluarkan beberapa pengecualian bantuan kemanusiaan kepada sekatan sejak pengambilalihan oleh Taliban pada Ogos 2021, kerajaan ini masih perlu berfungsi sebaiknya dengan menghentikan sekatan kepada Taliban bagi membolehkan ia berfungsi sepenuhnya untuk masa depan kira-kira hampir 40 juta warganya.

* Wartawan Astro AWANI, Syafik Syukri Jalil kini berada di Kabul, Afghanistan kerana menyertai misi bantuan kemanusiaan untuk Afghanistan bersama pertubuhan NGO Global Peace Mission (GPM) Malaysia
#Afghanistan #kerajaan Taliban #Kabul #propaganda Barat
;