Real Madrid sahkan Zinedine Zidane positif COVID-19

Agensi
Januari 22, 2021 21:33 MYT
Zidane mengasingkan diri awal bulan ini selepas menjadi kontak rapat individu yang positif COVID-19. - AP
PASUKAN bola sepak Sepanyol, Real Madrid mengesahkan jurulatihnya, Zinedine Zidane positif COVID-19.
Berita itu disahkan oleh jurucakap Los Blancos yang mengeluarkan satu kenyataan menerusi laman web rasminya hari ini.
Jurulatih Perancis itu mula mengasingkan diri awal bulan ini selepas menjadi kontak rapat individu yang positif COVID-19.
Zidane, yang kini berada dalam tekanan berikutan kekalahan mengejut Real Madrid kepada pasukan divisyen tiga Alcoyano awal minggu ini dilaporkan tidak akan hadir untuk perlawanan La Liga menentang Alaves pada Sabtu.
Tugasnya itu akan diambil alih sementara waktu oleh pembantunya David Bettoni.
Untuk rekod, Real Madrid kini berada di kedudukan kedua carta La Liga, ketinggalan tujuh mata di belakang pesaingnya, Atletico Madrid, yang masih mempunyai beberapa baki permainan lagi.
Pada awal musim ini, penyerang Real Madrid, Eden Hazard, pemain tengah Casemiro dan pemain pertahanan Eder Militao turut disahkan positif COVID-19.
#bola sepak #sepanyol #COVID-19 #Real Madrid #Zinedine Zidane #positif #kes positif #jurulatih Real Madrid
;