Real Madrid berkabung untuk peminat yang maut dalam serangan Daish di Iraq
Agensi
Mei 14, 2016 12:33 MYT
Mei 14, 2016 12:33 MYT
Kelab bola sepak Real Madrid akan memakai lilitan lengan berwarna hitam dalam perlawanan pada Sabtu sebagai simbol berkabung berikutan insiden serangan militan Daish ke atas sebuah kafe di Iraq yang mengorbankan 16 penyokong pasukan tersebut.
“Pasukan Real Madrid ingin menunjukkan solidariti bersama rakyat Iraq, yang menderita akibat keganasan melampau,” ujar kelab itu.
Kafe tersebut dilaporkan menjadi tempat perkumpulan para peminat Real Madrid, lapor media antarabangsa.
“Kami terdiri daripada 50 orang peminat Real Madrid yang berkumpul di sebuah kafe di Balad untuk berbincang tentang perlawanan bola sepak yang bakal berlangsung.
“Tiba-tiba, enam lelaki bersenjata menyerbu masuk ke dalam kafe itu dan mula melepaskan tembakan secara rambang. Saya terpaksa berbaring di lantai,” ujar seorang saksi, Ahmed Tha'er kepada stesen media NBC.
Serangan di bandar Balad itu berlaku pada Jumaat pagi. Kumpulan penyerang itu termasuk dua pengebom bunuh diri yang meletupkan bahan letupan selepas ketibaan polis, kata pihak berkuasa Iraq kepada The Associated Press.
Sejumlah 14 orang maut serta-merta di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia kemudiannya akibat kecederaan serius.
Pada awalnya 13 orang dilaporkan terbunuh namun kelab bola sepak itu menyatakan 16 orang mati kesemuanya.
Kumpulan militan Daish mengaku ebrtanggungjawab terhadap serangan itu beberapa jam selepas kejadian.
Insiden itu bukan kali pertama Daish menjadikan peminat bola sepak sebagai sasaran keganasan. Pada Mac lalu, pengebom bunuh diri telah menyerang stadium bola sepak di Iskandariyah, selatan Baghdad hingga membunuh sekurang-kurangnya 26 orang.