Reaksi pemimpin dunia terhadap perjanjian gencatan senjata Lubnan
Bernama
November 27, 2024 21:55 MYT
November 27, 2024 21:55 MYT
PEMIMPIN dunia menyambut baik perjanjian gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Hizbullah di Lubnan yang berkuat kuasa pada pagi Rabu (0200 GMT).
Agensi Anadolu (AA) melaporkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengeluarkan kenyataan bersama, mengatakan: "Hari ini, selepas berminggu-minggu diplomasi tanpa henti, Israel dan Lubnan menghentikan permusuhan."
"Pengumuman ini akan mencipta syarat untuk mengembalikan keamanan berkekalan dan membolehkan penduduk di kedua-dua negara kembali ke rumah mereka dengan selamat di kedua-dua belah Garisan Biru," menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri Britain Keir Starmer juga menyambut baik gencatan senjata itu, sambil menyeru agar perjanjian itu diubah menjadi "penyelesaian politik yang berkekalan."
"Kita mesti melihat kemajuan segera ke arah perjanjian gencatan senjata di Gaza, pembebasan semua tebusan dan penghapusan sekatan ke atas bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan," tambahnya.
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Rabu menyambut baik perjanjian itu, sambil menyeru semua pihak, terutamanya Israel, untuk mematuhi sepenuhnya tanggungjawab mereka dalam mengekalkan keamanan.
Beliau menyatakan kesediaan negaranya untuk menyumbang ke arah mengakhiri genosid yang sedang berlaku di Gaza dan mewujudkan gencatan senjata yang berkekalan.
Ketua dasar luar Kesatuan Eropah Josep Borrell pada Selasa menggambarkan gencatan senjata itu sebagai "satu kelegaan dalam situasi kehancuran di Timur Tengah."
Dalam kenyataan yang dikongsi di platform X, Borrell memuji Perancis dan AS atas usaha rundingan mereka.
"Perjanjian mengenai gencatan senjata di Lubnan adalah satu kelegaan dalam situasi di Timur Tengah. Saya ingin memuji Perancis dan AS atas usaha mediasi mereka," tulisnya, menurut Agensi Anadolu.
Beliau menekankan keperluan untuk memastikan ketahanan gencatan senjata itu bagi melindungi nyawa rakyat di Lubnan dan Israel serta memudahkan penduduk yang menjadi pelarian kembali ke tempat asal dengan selamat.
"Kini adalah penting agar gencatan senjata ini kekal," tambahnya.
China juga menyambut baik perjanjian itu.
"Beijing menyokong semua usaha yang menyumbang kepada meredakan ketegangan dan mencapai keamanan serta mengalu-alukan pihak-pihak berkaitan yang mencapai persetujuan mengenai gencatan senjata," kata jurucakap Kementerian Luar Mao Ning kepada pemberita di Beijing.
Kementerian Luar India melahirkan harapan gencatan senjata itu akan membawa keamanan dan kestabilan di rantau itu.
"India sentiasa menggesa kepada meredakan ketegangan, kawalan diri serta kembali kepada dialog dan diplomasi," menurutnya dalam satu kenyataan.
Kementerian Luar Mesir dalam satu kenyataan berkata gencatan senjata itu akan membuka jalan untuk mengakhiri ketegangan di kawasan itu melalui pelaksanaan Resolusi 1701 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan penempatan tentera Lubnan di selatan Lubnan.
Kenyataan itu menyebut resolusi 1701, yang diterima pakai pada 11 Ogos 2006, menyeru agar permusuhan antara Hizbullah dan Israel dihentikan sepenuhnya serta penubuhan zon bebas senjata antara Garisan Biru dan Sungai Litani di selatan Lubnan, dengan pengecualian bagi tentera Lubnan dan misi pengaman PBB (UNIFIL).
Menurut Agensi Anadolu, Mesir berkata perjanjian itu seharusnya "sebagai pendahuluan untuk menghentikan pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza" di samping "keperluan untuk mencapai gencatan senjata segera, akses tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan ke kawasan bergolak itu dan menghentikan serangan ke atas Tebing Barat."
Israel meningkatkan serangan udara di Lubnan terhadap apa yang dikatakannya sebagai sasaran ke atas Hizbullah sejak setahun lalu selepas bermulanya serangan ke atas Gaza tahun lepas.
Pihak berkuasa kesihatan Lubnan melaporkan lebih 3,760 orang terbunuh, hampir 15,700 cedera dan lebih sejuta terpaksa berpindah akibat serangan Israel di Lubnan sejak Oktober tahun lalu.
Israel meluaskan konflik dengan serangan darat ke selatan Lubnan pada 1 Okt tahun ini.
-- BERNAMA