Pasukan peguam yang mewakili Presiden Mohammed Morsi gagal dalam percubaannya untuk menarik balik perintah mahkamah menangguh pilihan raya parlimen Mesir.

Dengan keputusan itu, ia bermakna proses berkenaan tidak akan diadakan pada tarikh yang ditetapkan sebelum ini.

Peguam kerajaan menyifatkan keputusan mahkamah pentadbiran agung sebagai tidak tepat dan melanggar perlembagaan.

Keputusan berkenaan dibuat selepas pihak berkuasa perundangan Mesir menfailkan rayuan kepada mahkamah rendah pada awal Mac lalu.

Ia mendakwa undang-undang pentadbiran pilihan raya yang diluluskan sebelumnya tidak sah dan tidak mengikut prosedur sepatutnya.

Terdahulu, pembangkang Mesir melahirkan kebimbangan undang-undang berkenaan akan memberi kebenaran kepada Ikhwanul Muslimin untuk melakukan proses persempadanan semula yang membolehkannya menguasai parlimen.

Terdahulu Presiden Morsi ingin mengadakan pilihan raya pada 22 April selepas mengambil kira faktor kestabilan dan proses peralihan demokrasi di negara itu.