Rayuan gugur kandungan ditolak, kes mangsa rogol 10 tahun cetus kemarahan
Agensi
Ogos 7, 2017 16:43 MYT
Ogos 7, 2017 16:43 MYT
Keputusan mahkamah di India menolak permohonan seorang mangsa rogol berusia 10 tahun untuk melakukan pengguguran telah mencetuskan kemarahan rakyat di negara itu termasuk pihak media.
Kanak-kanak itu sebelum ini disahkan hamil akibat dirogol beberapa kali oleh bapa saudaranya sendiri di New Delhi.
Berikutan kejadian malang yang menimpa kanak-kanak itu, ibu bapanya telah membuat rayuan mahkamah untuk membenarkan anak mereka itu menggugurkan kandungannya.
Rayuan tersebut walau bagaimanapun terpaksa ditolak mahkamah memandangkan bayi di dalam kandungan kanak-kanak itu sudah berusia lebih 20 minggu dan mengikut laporan kesihatan akan membahayakan nyawa kanak-kanak tersebut.
Kecewa dengan keputusan itu, ahli keluarga mangsa kini terpaksa pula berdepan dengan tekanan dari wartawan dan media setelah berita tentang kes anak mereka tular.
Ada juga yang mempersoalkan kemungkinan ibu mangsa sendiri telah membenarkan kejadian tersebut berlaku.
"Bagaimana dia tidak tahu bahawa anak perempuannya hamil selama tujuh bulan?" tanya oarang ramai.
Berikutan publisiti negatif yang diberikan, ibu bapa kanak kanak tersebut bimbang tentang masa depan anak mereka dan stigma yang akan dihadapinya apabila dia membesar memandangkan mangsa rogol di India sukar diterima masyarakat.
“Dia harus mendapat sokongan berterusan dalam bentuk kaunseling yang baik. Dia perlu dipulihkan dan tidak ditinggalkan di rumah yang kotor. Dia perlu berada di tempat di mana dia akan dihormati,” kata ahli psikologi dari Mumbai, Harish Shetty.
Mangsa berasal dari keluarga miskin dan tinggal di flat satu bilik bersama ibu bapanya yang masing-masing merupakan pekerja kerajaan dan pembantu rumah.
"Saya mahu dia dihukum seberat-beratnya, dia mesti mendapat hukuman mati atau dipenjara seumur hidup, dia telah mengakui kesalahannya, tetapi tidak pernah sekali pun mengucapkan maaf kepada kami," komen bapa mangsa.
Bapa saudara mangsa rogol itu kini dalam tahanan polis untuk disoal-siasat.