Rayuan bekas presiden Perancis Sarkozy terhadap sabitan penjara setahun bermula di Paris
Bernama
November 8, 2023 23:28 MYT
November 8, 2023 23:28 MYT
PARIS: Rayuan bekas presiden Perancis Nicolas Sarkozy terhadap sabitan penjara setahun ke atasnya pada 2021 atas pertuduhan pembiayaan haram semasa pilihan raya bermula pada Rabu, lapor agensi berita Jerman.
Perbicaraan rayuan itu bermula pada 1.30 tengah hari (1230 GMT) Rabu di Paris.
Dua tahun lepas, ahli politik konservatif itu dijatuhi hukuman tahanan rumah selama setahun dan dipasang tag elektronik.
Mahkamah memutuskan Sarkozy, presiden Perancis dari 2007 hingga 2012, telah berbelanja melebihi had kempen pada 2012 semasa bertanding semula pada pilihan raya. Beliau tewas dalam cubaan itu.
Untuk menyembunyikan perbelanjaan tambahan, parti UMP miliknya - yang telah dinamakan semula sebagai The Republicans - dikatakan menggunakan sistem invois palsu.
Walaupun Sarkozy, 68, dikatakan tidak mencipta sistem itu, mahkamah mendapati beliau gagal dalam tanggungjawabnya untuk memantau perbelanjaan.
-- BERNAMA