Ratusan warga China, Pakistan, Jepun selamat tiba di tanah air dari Sudan
Bernama
April 29, 2023 18:44 MYT
April 29, 2023 18:44 MYT
ISLAMABAD: Pakistan, China dan Jepun memindahkan kira-kira 750 rakyat masing-masing dari Sudan, kata pegawai pada Sabtu.
Penerbangan sewa khas pertama yang membawa 343 warga China mendarat di Beijing International Airport, lapor Agensi Anadolu memetik Global Times.
Pada Khamis, Kementerian Luar China memaklumkan negara itu telah memindahkan lebih 1,300 rakyatnya dari Sudan.
"Ada yang meninggalkan Sudan dengan kapal dan ada yang masih dalam perjalanan keluar dari negara itu.
"Masih ada sebilangan kecil warga China di luar ibu negara Sudan Khartoum," menurut jurucakap Kementerian Luar Mao Ning dalam satu taklimat media.
Sementara itu, 357 daripada kira-kira 1,500 warga Pakistan yang terkandas di Sudan telah dipindahkan dan tiba di tanah air.
"Kumpulan ketiga 97 warga Pakistan dari Pelabuhan Sudan tiba di Karachi melalui (bandar pelabuhan Arab Saudi) Jeddah menaiki pesawat PAF C-130," menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan ringkas.
Terdahulu, 260 warga Pakistan selamat tiba dari Jeddah manakala lebih 700 yang lain telah pun dipindahkan dari Sudan ke Arab Saudi.
Menurut media Jepun, 48 rakyat Jepun tiba bersama ahli keluarga mereka di Tokyo melalui Djibouti.
Ribuan melarikan diri dari Sudan sejak Isnin ketika pertempuran antara tentera dan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) semakin memuncak.
Menurut PBB, pertempuran yang meletus pada 15 April menyebabkan lebih 450 orang terbunuh dan lebih 4,000 lagi cedera.
-- BERNAMA