Ratusan ribu rakyat Israel sertai tunjuk perasaan, marah cara Netanyahu tangani krisis tebusan
Agensi
September 1, 2024 06:30 MYT
September 1, 2024 06:30 MYT
TEL AVIV: Disifatkan sebagai "lautan tunjuk perasaan tidak berkesudahan," kemarahan rakyat Israel yang sukar dibendung diterjemahkan dalam demonstrasi besar-besaran, di sini, yang disertai sekurang-kurangnya 700,000 orang pada Ahad malam, selepas tentera Israel menemui mayat enam tebusan yang dibunuh oleh Hamas di Gaza.
Kegagalan Israel yang dipimpin Benjamin Netanyahu menangani krisis tebusan itu mendesak rakyat turun ke jalanan menuntut perjanjian gencatan senjata yang berkekalan, sementara kesatuan buruh Israel menggesa mogok diadakan enam tawanan itu ditemui mati.
Dalam demonstrasi mega anti-kerajaan sejak perang Gaza tercetus hampir 11 bulan lalu, turut dilaporkan berlaku pergaduhan antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan.
Penunjuk perasaan melaungkan “Sekarang! Sekarang!” dan menuntut Perdana Menteri Netanyahu mencapai gencatan senjata dengan kumpulan Palestin Hamas untuk membawa pulang tawanan yang tinggal.
Ratusan ribu menyekat jalan raya di Tel Aviv dan berdemonstrasi di luar pejabat Netanyahu di Baitulmaqdis Barat.
Dalam satu kenyataan, Forum Tebusan dan Keluarga Hilang yang mewakili keluarga tawanan yang ditahan di Gaza berkata, kematian enam tebusan itu merupakan kegagalan Netanyahu mendapatkan perjanjian untuk menghentikan pertempuran dan membawa orang tersayang mereka pulang.
“Mereka semua dibunuh dalam beberapa hari lepas, selepas terselamat hampir 11 bulan penderaan, penyeksaan dan kebuluran dalam kurungan Hamas,” kata forum itu.
Gil Dickmann, sepupu kepada Carmel Gat, yang mayatnya antara yang dipulangkan menggesa rakyat Israel untuk memberi lebih tekanan kepada kerajaan mereka.
“Turun ke jalan raya dan tutup negara sehingga semua orang kembali. Mereka masih boleh diselamatkan,” tulis Dickmann di X.
Gideon Levy, kolumnis akhbar Haaretz Israel, memberitahu Al Jazeera, Netanyahu telah mempertahankan parti sayap kanan dalam kerajaannya yang menentang sebarang konsesi kepada Hamas.
"Mereka tidak peduli dengan tebusan," katanya.
Levy menegaskan, dalam parti politik Likud yang juga kumpulan terbesar dalam kerajaan, Netanyahu sangat berkuasa dan parti itu menyokong Netanyahu yang memimpinnya.
“Oleh itu cabaran dari dalam kerajaan sangat terhad. Cabaran sebenar, hanya mungkin, adalah jalanan, tetapi masih terlalu awal untuk menilai," tegas Levy
Kesatuan sekerja gesa mogok umum
Sementara itu, dalam tindakan yang pertama sejak 7 Oktober tahun lalu kesatuan sekerja sekerja terbesar Israel, Histadrut, menggesa mogok umum untuk menekan kerajaan menandatangani perjanjian gencatan senjata.
Kesatuan itu berkata, Lapangan Terbang Ben Gurion, hab pengangkutan udara utama Israel, akan ditutup mulai 8 pagi (waktu tempatan) pada Isnin bertujuan untuk menutup atau mengganggu sektor utama ekonomi Israel termasuk perbankan dan penjagaan kesihatan.
“Perjanjian (gencatan senjata) lebih penting berbanding lain-lain. Kami memperoleh beg yang berisi mayat, bukannya perjanjian,” kata ketua Histadrut, Arnon Bar-David.
Gesaan Bar-David turut disokong oleh pengeluar dan usahawan utama Israel dalam sektor teknologi tinggi.
Gabungan nada sama beberapa pertubuhan paling berkuasa dalam ekonomi Israel mencerminkan skala kemarahan orang ramai terhadap kematian enam tawanan itu.
Perkhidmatan perbandaran di hab ekonomi Israel Tel Aviv juga akan ditutup sebahagian operasi pada Isnin.
Persatuan Pengilang Israel menyokong mogok itu dan menuduh kerajaan gagal dalam melaksanakan "tugas moral" untuk menghidupkan semula tawanan.
“Tanpa mendapatkan kembali tebusan, kita tidak akan dapat menamatkan perang, tidak akan dapat memulihkan diri kita sebagai masyarakat dan kita tidak akan dapat memulihkan ekonomi Israel,” kata ketua persatuan itu, Ron Tomer.
Dalam perkembangan sama, Ketua pembangkang Israel dan bekas Perdana Menteri, Yair Lapid turut mengumumkan sokongan beliau pada penganjuran mogok besar-besaran itu.
Sementara Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich telah meminta Peguam Negara, Gali Baharav-Miara untuk mengemukakan perintah segera daripada mahkamah untuk menyekat mogok yang dirancang di seluruh Israel.
Dalam suratnya, Smotrich berhujah, mogok itu tidak mempunyai asas undang-undang kerana bertujuan mempengaruhi keputusan dasar penting ahli politik secara tidak wajar dalam isu berkaitan keselamatan Israel.
Beliau juga berkata, mogok besar-besaran itu akan melumpuhkan Israel termasuk termasuk menjejaskan penerbangan keluar - mempunyai kesan ekonomi ketara yang akan menyebabkan kerosakan ekonomi yang tidak perlu pada masa perang.
Rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas telah berlarutan selama berbulan-bulan dan banyak pihak menyalahkan Netanyahu kerana gagal mencapai perjanjian.
Tentera Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 40,738 orang dan mencederakan 94,154 orang dalam perangnya ke atas Gaza sejak 7 Oktober.
Dianggarkan pula seramai 1,139 orang terbunuh di Israel semasa serangan yang diketuai Hamas sementara sekitar 250 orang ditawan oleh kumpulan itu.
Tentera Israel telah mengakui kesukaran untuk menyelamatkan berpuluh-puluh tawanan yang masih tinggal dan berkata hanya perjanjian boleh membawa pulangan besar-besaran. - Agensi