Ratusan ribu rakyat Indonesia berhimpun #BantahAhok

Harits Asyraf Hasnan
November 4, 2016 16:17 MYT
Para aktivis Islam di Solo berlepas ke Jakarta pada 3 Nov 2016 untuk mengambil bahagian dalam protes terhadap Basuki Tjahaja Purnama. - AFP
Ratusan ribu rakyat Indonesia dari segenap pelosok republik itu berkumpul di bandaraya ini dalam demonstrasi 'membantah Ahok', Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja (Cahaya) Purnama yang dikatakan telah menghina Islam.
Bergerak atas nama badan bukan kerajaan atau organisasi masyarakat (ormas), penunjuk perasaan mula bergerak secara berperingkat selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Istiqal, di sini sebentar tadi.
Ketua Komunikasi Polis Metro Jaya, Kombes Awi Setiyono mengatakan setelah solat Jumaat, peserta demonstrasi melalu Lapangan Banteng menuju Jalan Pejabon kemudian ke Pejabat Kementerian Kelautan dan Perikanan, Jalan Ridwan Rais di Jakarta Pusat.
"Setelah peserta demonstrasi kemudiannya bergerak ke Balai Kota DKI Jakarta melalui Jalan Medan Merdeka Selatan," katanya memetik laporan Kompas TV.
Selepas itu, mereka bergerak ke Bundaran Patung Kuda dan memasuki Jalan Medan Merdeka Barat menuju Istana Merdeka.
Sehingga jam 3 petang waktu Malaysia, situasi di tengah kota raya Jakarta itu masih lagi terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Sebelum itu, peserta demonstrasi tetap menunaikan kewajiban mereka sebagai umat Islam walaupun terpaksa mendirikan solat Jumaat berjemaah dengan dikelilingi kawat duri.
Bukan sahaja peserta demonstrasi, malah pasukan polis yang mengawal keselamatan turut mendirikan solat bersama perserta perhimpunan di depan Taman Padang Istana, di sini.
Malah, ada antara mereka yang duduk bersila sambil membaca Al-Quran sementara menunggu masuknya waktu Zohor.
Salah seorang peserta mengumandangkan azan menggunakan pembesar suara diikuti khutbah Jumaat.
Pukul 11.52 (WIB), solat Jumaat bermula yang diimamkan oleh salah seorang peserta demonstrasi.
##BantahAhok #ahok bantah #basuki tjahaja purnama #Gabenor Jakarta
;