Ratusan rakyat tunjuk perasaan di bank pusat Sepanyol
Astro Awani
Januari 9, 2013 07:57 MYT
Januari 9, 2013 07:57 MYT
Beratus-ratus rakyat menyertai demonstrasi di luar bangunan bank pusat Sepanyol, Bank of Spain di Madrid dan tujuh bandaraya lain di Sepanyol.
Tunjuk perasaan diadakan bagi membantah pemberhentian kerja besar-besaran yang akan dilakukan oleh dua bank terbesar negara itu.
Bank berkenaan, Bankia dan Santander telah mempertimbang untuk membuang beribu-ribu kakitangannya.
Kesatuan perbankan Sepanyol khuatir sekurang-kurangnya sembilan ribu akan hilang pekerjaan.
Di Madrid , penunjuk perasaan membawa sepanduk yang mengutuk bank dan menuntut pihak pengurusan supaya bertanggungjawab.
Bankia ialah bank pembiaya kebangsaan Sepanyol yang telah menerima dana pinjaman berjumlah 18 bilion Euro daripada 17 negara kesatuan Eropah yang menggunakan Euro.
Ia bercadang memberhentikan lebih enam ribu pekerja.
Bank terbesar Sepanyol, Santander pula mengadakan perjumpaan dengan wakil kesatuan membincangkan pelan penstrukturan susulan penyerapan anak syarikatnya bank Banesto.
Sekurang-kurangnya tiga ribu akan dibuang kerja.
Ironinya, cadangan pemberhentian itu berlaku selepas EU mengeluarkan tinjauan terbaru menyatakan kadar pengangguran di Sepanyol mencecah hampir 27 peratus, yang tertinggi di rantau itu.