Ratusan orang awam terbunuh dalam serangan Israel ke atas Rafah
Bernama
Februari 12, 2024 16:00 MYT
Februari 12, 2024 16:00 MYT
RAFAH (Palestin): Tentera penceroboh Israel mengebom bandar Rafah di selatan Gaza yang penuh sesak dengan penduduk pada awal pagi Isnin membunuh dan mencederakan ratusan orang awam Palestin.
Pihak berkuasa kesihatan di Rafah melaporkan pembunuhan tragis lebih 100 orang awam, termasuk kanak-kanak dan wanita, dengan ratusan lagi cedera.
Mangsa dikejarkan ke hospital di seluruh bandar itu, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Bulan Sabit Merah Palestin menyatakan bahawa Rafah sedang menyaksikan peningkatan serangan udara Israel yang tertumpu di pusat bandar yang turut menjejaskan kediaman berhampiran ibu pejabat Bulan Sabit Merah.
Pengarah Hospital Kuwait di bandar itu, Suhaib Al-Hams, berkata hospital itu dipenuhi dengan pesakit yang cedera parah selain berdepan kekurangan ubat-ubatan dan bekalan yang mencukupi.
Sumber tempatan berkata jet pejuang Israel melancarkan kira-kira 40 serangan udara, menyasarkan banyak rumah dan masjid yang melindungi individu yang kehilangan tempat tinggal.
Serangan itu disusuli dengan tembakan artileri dan pengeboman tentera laut Israel ke atas Rafah.
Antara masjid yang menjadi sasaran ialah Al-Rahma di Shaboura dan Al-Huda di kem pelarian Yibna, selain lebih 14 rumah yang berpenghuni. Serangan udara Israel juga menyasarkan kawasan berhampiran sempadan dengan Mesir.
Kira-kira 1.4 juta warga Palestin dan penduduk yang hilang tempat tinggal kini berada di Rafah selepas tentera penceroboh Israel mengusir beratus-ratus ribu rakyat Palestin dari utara Gaza ke selatan wilayah berkenaan.
Serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas telah mengakibatkan pembunuhan lebih 28,176 individu, yang majoritinya adalah orang awam manakala lebih 68,000 lagi cedera.
-- BERNAMA