Ratusan koala ditemui mati di Australia
Agensi
Februari 4, 2020 11:51 MYT
Februari 4, 2020 11:51 MYT
Ratusan koala ditemui mati dan kira-kira 80 ekor lagi terpaksa dirawat akibat cedera dan kelaparan selepas habitat mereka diceroboh aktiviti penerbangan hutan yang dilakukan secara berleluasa.
Susulan kejadian itu, kerajaan Australia bertindak melancarkan siasatan pada Isnin.
Jabatan Alam Sekitar Victoria memaklumkan pengawal selia pemuliharaan negeri bertindak menyiasat insiden ‘sangat menyedihkan’ itu yang berlaku di ladang pokok minyak kayu putih yang merupakan habitat penting koala berhampiran bandar pesisir Portland.
“Kami akan bertindak terhadap mereka yang bertanggungjawab jika siasatan ini mendapati ia berpunca daripada tindakan disengajakan oleh manusia.Penilaian kebajikan hidupan liar dan rawatan akan diteruskan oleh veterinar dan penjaga berkelayakan.
“Rancangan sedang dibuat untuk memindahkan baki koala yang terselamat,” jelas jabatan itu lagi.
Difahamkan, mereka yang bertanggungjawab akan dikenakan denda maksimum di bawah undang-undang untuk melindungi hidupan liar di Australia.
Pertubuhan Alam Sekitar Friends of the Earth mendakwa aktiviti penebangan hutan yang digelar ‘pembunuhan beramai-ramai’ ke atas spesies marsupial itu bermula pada Disember lalu.
Menurutnya, insiden itu hanya disedari orang ramai apabila penduduk tempatan menyaksikan timbunan bangkai koala sejak kebelakangan ini.
Seorang penduduk, Helen Oakley turut berkongsi rakaman kejadian itu di Facebook.
“Ibu dan anak-anak koala dibunuh tanpa perikemanusiaan. Australia sepatutnya malu dengan insiden ini. Kami perlukan bantuan,” tegasnya.
Sementara itu, Persatuan Produk Perhutanan Australia (AFPA) memberitahu kontraktor yang menjalankan projek menebang pokok minyak kayu putih di kawasan tersebut pada November lalu mematuhi peraturan perlindungan hidupan liar yang ditetapkan.
“Baki pokok tersebut ditebang pihak lain selepas kontrak mereka tamat. Masih tidak jelas siapa yang menebang kesemua pokok tersebut.
“Kami yakin ia bukan dilakukan syarikat perhutanan atau perladangan. Kami menyokong gesaan ramai supaya pelaku diheret ke muka pengadilan,” lapor akhbar Nine memetik kenyataan Ketua Eksekutif AFPA, Ross Hampton.
Kumpulan perlindungan haiwan Animal Australia dalam satu kenyataan mendakwa mereka sedang menyiasat beberapa pelanggaran yang dibuat.
“Syarikat terbabit sepatutnya menggunakan alat pengesan untuk mengenal pasti koala yang masih berlindung dalam pokok minyak kayu putih tersebut. Langkah itu bagi memastikan haiwan tersebut boleh dikeluarkan dan dipindahkan dengan selamat.
Ia juga mengesahkan mereka telah menghantar pasukan ke lokasi itu untuk menyelamatkan koala lain dalam jumlah seberapa banyak yang mungkin.