Ratusan kenderaan saling berlanggar di lebuh raya akibat salji tebal di Jepun
Agensi
Januari 19, 2021 18:02 MYT
Januari 19, 2021 18:02 MYT
TOKYO: Sekurang-kurangnya 134 buah kenderaan terlibat dalam beberapa siri kemalangan di sebuah lebuh raya di Jepun susulan salji tebal yang melanda negara itu, pada Selasa.
Reuters melaporkan, kejadian yang berlaku sepanjang 1 kilometer di lebuh raya Tohoku, utara Miyagi itu telah menyebabkan satu kematian dan belasan tercedera, menurut pihak berkuasa Jepun.
Walaupun pihak berkuasa menetapkan had kelajuan 50km sejam ketika keadaan salji menebal, namun undang-undang itu terbukti tidak cukup bagi mengelak insiden yang tidak diingini itu.
Menurut agensi pengurusan bencana, seramai 200 orang terbabit dalam kemalangan berantai berkenaan, yang menyaksikan sejumlah 12 mangsa telah dihantar ke hospital untuk tujuan rawatan.
Setakat Selasa, operasi menyelamat masih sedang dijalankan.
Fenomena salji tebal luar jangkaan telah melanda beberapa lokasi di Jepun sejak beberapa minggu kebelakangan ini.